F Gerai peniaga 'ludah' durian tutup | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Gerai peniaga 'ludah' durian tutup

Kurang daripada 24 jam tersebarnya video yang viral melibatkan peniaga seperti ‘meludah’ di dalam bungkusan durian, tapak niaga terbabit telah dikosongkan.

Tindakan pantas dibuat wakil Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 kawasan itu, jam 9.30 malam semalam yang menasihatkan empat peniaga warga Indonesia tersebut untuk menutup gerai berkenaan.

Tepat jam 10 malam, peniaga warga asing itu akur untuk mengosongkan kawasan bagi mengelakkan tindakan lebih tegas dikenakan ke atas mereka yang menjaja tanpa kebenaran.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Amir Fazlee Khalid berkata, tindakan ke atas peniaga tersebut pernah dibuat minggu lalu atas kesalahan meniaga tanpa kebenaran namun amaran tersebut tidak diendahkan.

“Mereka tak sedar kelakuan mereka telah jadi viral dan mereka menafikan tidak meludah pada durian yang dibungkus sebaliknya hanya meniupnya.

“Tapi untuk mengelakkan insiden tak diingini, kami mohon supaya mereka mengemas jualan dan beredar dari kawasan memandangkan lokasinya terletak di kawasan perumahan,” katanya.

Menurutnya, insiden tersebut perlu dijadikan pengajaran oleh masyarakat yang sering mempersoalkan tindakan penguat kuasa berkenaan isu penjaja.

“Banyak pihak marah apabila tindakan penguatkuasaan dikenakan ke atas penjaja namun sebaliknya ia adalah langkah pencegahan dan kawalan bagi mengelakkan insiden seperti ini.

“Sedikit sebanyak isu video viral ini buka mata semua pihak isu kebersihan dan pentingnya kawalan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di lokasi kira-kira jam 12 tengah hari tadi mendapati, tapak niaga tersebut telah dikosongkan.
Powered by Blogger.