F Gempak Superstar: Raja Ilya, Izreen Azminda tersingkir | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Gempak Superstar: Raja Ilya, Izreen Azminda tersingkir

DUA penyingkiran kembali dilakukan dalam konsert minggu keempat Gempak Superstar yang berlangsung di Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru, kelmarin.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, keputusan itu diambil kerana ia rancangan awal produksi.

“Kita sememangnya sudah merancang dari awal berapa ramai peserta yang akan disingkirkan pada setiap minggu.

“Mengikut perancangan asal, program realiti ini bakal bersiaran enam minggu.

“Jadi, kita sudah punya kuota yang ditetapkan untuk peserta yang akan mara ke peringkat akhir,” katanya.

Konsert minggu keempat memperlihatkan dua pelakon, Raja Ilya dan Izreen Azminda tersingkir selepas berada kedudukan dua terendah daripada tujuh peserta bertanding.

“Hasil markah juri dan undian penonton, Ilya mengutip 34 peratus, manakala Izreen pula 33 peratus,” katanya.

Kini, tinggal lima peserta yang akan meneruskan perjuangan iaitu Siti Elizad, Soffi Jikan, Arja Lee, Sherry Ibrahim dan Nazim Othman ke peringkat separuh akhir, minggu depan.

Ketika ditanya adakah Gempak Superstar akan cipta kejutan dengan melakukan proses serap masuk semula, kata Raqim ia akan dinilai daripada sudut keperluan.

“Biasanya, proses serap masuk dilakukan apabila peminat terlalu obses dengan seseorang peserta.

“Kita akan lihat maklum balas daripada peminat. Jika tiada, kita tidak rasa kenapa ia perlu dilakukan,” katanya.

Buat sehabis baik

Dalam pada itu, biarpun tersingkir, Ilya dan Izreen mengakui berpuas hati kerana telah melakukan yang terbaik untuk Gempak Superstar.

Hampir setiap minggu dalam kedudukan tiga terbawah, Ilya mengakui populariti buat dirinya masih belum mencukupi.

“Dalam bidang lakonan, saya kerap bawa watak antagonis. Saya selalu dibenci sama ada dengan cara baik atau buruk.

“Faktor seperti itu juga mempengaruhi hasil undian. Bahkan, saya juga sedar diri, saya tidak punya vokal yang ‘sedap’ untuk menyanyi.

“Tetapi, saya sudah cuba yang termampu dan nampaknya hanya setakat ini rezeki saya. Terima kasih kerana tidak putus-putus memberi sokongan,” katanya

Bagi Izreen pula, masa yang agak singkat dalam menjalani sesi latihan juga mempengaruhi mutu persembahan yang diberikan.

“Walaupun ada sedikit perasaan kecewa, tetapi saya sudah mencuba dengan sehabis baik.

“Saya serahkan semuanya kepada undian. Lagipun, saya sudah memberi komitmen sepenuhnya dalam program ini.

“Tetapi, jika setakat ini sahaja saya mampu bertahan. Alhamdulillah,” katanya.

 Teguran tajam

Pada masa sama, baik Ilya mahupun Izreen berpendapat teguran kasar dan tajam daripada juri turut mempengaruhi semangat dan jiwa setiap peserta dalam membuat persembahan.

“Semua peserta dalam program ini bukanlah ‘orang baharu’ dalam industri.

“Rata-ratanya sudah mempunyai pengalaman dalam industri hampir 10 tahun dan kenal di antara satu sama lain,” kata mereka.

Bahkan, Izreen turut bersetuju dengan pandangan Datuk Ramli MS supaya juri terutamanya Datuk Fauziah Ahmad Daud atau Ogy menurunkan sedikit intonasi suara ketika menegur.

“Jujurnya, setiap teguran yang begitu tajam, sangat menggores hati kami.

“Kami semua bukanlah pelajar baharu seperti mana dalam program realiti, Akademi Fantasia.

“Boleh hendak menegur, tetapi biarlah secara berhemah. Apabila ditegur secara baik, kami akan menyerapnya dengan baik. Tetapi, apabila menghentam, ia akan membuat semangat kami ‘jatuh’.

“Apabila itu berlaku, mulalah apa sahaja yang dilakukan berada dalam keadaan serba tidak kena,” kata Izreen.

Pun begitu, kedua-duanya mengakui tidak menyimpan di dalam hati sebaliknya mencuba untuk menerima secara terbuka.

“Setiap kritikan itu, kami terima seperti mana seorang pengarah yang menegur pelakonnya ketika berada dalam set penggambaran.

“Ia sesuatu yang biasa dan kami tidak ambil hati,” kata Ilya pula.

Gempak Superstar dibarisi empat nama besar selaku tenaga penasihat iaitu Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik, Datin Marlia Musa (penasihat vokal), Pat Ibrahim (penasihat drama dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi).

Barisan juri tetapnya ialah Ogy dan Amy Mastura. Program ini mengaplikasikan sistem pemarkahan 50 peratus oleh juri tetap dan selebihnya berdasarkan undian penonton melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
Powered by Blogger.