F Gempak Superstar medan luaskan bakat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Gempak Superstar medan luaskan bakat

PROGRAM realiti, Gempak Superstar, akhirnya melabuhkan tirainya malam kelmarin apabila mengumumkan aktres, Siti Elizad Sharifuddin sebagai juara, selepas enam minggu berlangsung.

Bersiaran secara langsung di Studio Pinewood Iskandar, Johor Bharu, kemenangan anak jati Kuala Lumpur itu ternyata tidak mengejutkan kerana sudah dijangkakan ramai.

Selain mempamer persembahan yang konsisten, pelakon berusia 32 tahun itu juga berjaya meraih undian tertinggi penonton menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS), pada setiap minggu.

“Jujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk bergelar juara. Namun, saya bersyukur dan gembira atas kemenangan ini,''  katanya kepada media ketika ditemui selepas program realiti itu tamat, kelmarin.

Siti Elizad diumumkan sebagai juara sulung dalam program realiti, Gempak Superstar sekali gus membawa pulang hadiah utama iaitu wang tunai RM100,000 dan trofi.

Meskipun bergelar juara, Siti Elizad tidak melihat pembabitannya dalam program realiti itu sebagai batu loncatan untuk bergelar penyanyi.

Sebaliknya, pelakon drama Teman Lelaki Upahan itu mahu membuka mata ramai pihak di luar sana akan kebolehannya dalam bidang lakonan yang merupakan jiwanya.

“Saya tahu suara saya agak ke ‘laut’ apabila menyanyi (ketawa). Namun, dek konsep program ini yang memerlukan saya menyanyi dan berlakon, ia benar-benar mencabar kemampuan saya.

“Jadi, apabila mendapat tugasan, saya tidak boleh fikir mengenai nyanyian sahaja sebaliknya saya menekankan kreativiti. Apa yang penting, bagaimana saya mahu luahkan nyanyian itu dalam karakter menerusi kreativiti tersendiri.

“Kerana itu, saya ambil kekuatan dalam bidang lakonan kerana itu jiwa saya. Saya seorang yang berjiwa besar dalam bidang ini jadi saya akan mencuba untuk memberi yang terbaik,” katanya.

Atas dasar itu, Siti Elizad ingin mencuba nasib dalam bidang teater muzikal, selepas ini.

“Saya memang teringin hendak berlakon teater. Apabila berada di pentas teater, auranya sedikit berbeza. Dalam soal nyanyian pula, sekiranya ada tawaran, Insya-ALLAH, saya akan mempertimbangkannya,” katanya.

Pada masa sama, Siti Elizad turut mendedikasikan kemenangannya itu kepada arwah ibunya, Nazariah Mohd Salleh yang banyak menyokong dan membantunya dalam industri seni.

“Arwah ibu adalah insan penting dalam hidup saya. Dialah insan pertama yang mempercayai kebolehan saya dalam bidang seni ini. Malah, dia juga yang sanggup menghantar dan menunggu berjam-jam lamanya ketika saya menghadiri uji bakat.

“Bukan itu sahaja, arwah ibu juga mahu saya menjadi anak seni yang berilmu,” katanya.

Bahkan, sebagai seorang yang rapat dengan ahli keluarganya, Siti Elizad mengakui akan membelanjakan sebahagian daripada wang kemenangannya itu untuk mengubati mata bapanya, Mohd Sharifuddin Baharuddin.

“Bapa saya ada masalah terhadap penglihatannya sejak empat tahun lalu. Sebelum ini, dia sudah menjalani beberapa kali pembedahan. Insya-ALLAH, saya mahu menggunakan wang itu untuk mengubatinya,” katanya.

Perluas karier nyanyian - Sherry Ibrahim

Berbeza dengan Siti Elizad, pelakon Sherry Ibrahim ternyata mempunyai matlamat dan hala tujunya tersendiri selepas dinobatkan sebagai naib juara dalam Gempak Superstar.

Kemenangan itu melayakkan kekasih kepada pelakon Fattah Amin ini membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 beserta trofi. Tidak cukup itu, Sherry turut menerima Anugerah Terlajak Gempak Superstar D’Herbs.

Kata Sherry lagi, sudah tiba masanya untuk memperluaskan kariernya sebagai penyanyi, selepas ini.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki. Ini adalah satu pencapaian tertinggi dalam diri saya. Menjadi penyanyi, adalah impian utama saya sedari kecil lagi. Saya suka muzik, ia membuat saya lebih sentimental. Inilah masanya, saya mahu menunjukkan bakat saya,” katanya.

Pada masa sama, pelakon berusia 33 tahun ini juga merancang untuk mengeluarkan single, tidak lama lagi.

“Insya-ALLAH, demi memperbaiki mutu nyanyian, saya juga akan mengikuti kelas vokal. Saya serius dalam bidang ini kerana ia adalah impian saya sejak lama dahulu,” katanya.

Tambah Sherry lagi, penglibatannya dalam Gempak Superstar membantu menambah keyakinan dalam diri terhadap bidang nyanyian.

“Semua orang tahu saya ada sikap pesimis terhadap diri sendiri. Apabila saya stress, saya akan lupa segalanya. Namun, program ini membuat saya lebih positif selain meyakinkan saya untuk tampil sebagai penyanyi,” katanya.

Pun begitu, pelakon drama Teduhan Kasih ini menegaskan tidak akan sesekali meninggalkan bidang lakonan sebaliknya ia akan bergerak secara seiring.

Bakal lancar single baharu - Arja Lee

Perkara sama turut dipersetujui oleh pelakon Arja Lee. Arja yang mendapat tempat ketiga dalam program realiti itu akan terus fokus untuk melancarkan single terbaharunya, Bintang Malam, dalam tempoh terdekat ini.

“Inilah masa yang paling ditunggu-tunggu (ketawa). Sebelum ini, saya terpaksa ‘membekukan’ seketika pelancaran single ini kerana ada terikat dengan undang-undang yang ada dalam program Gempak Superstar.

“Walaupun lagu ini sudah pernah keluar di radio, Alhamdulillah, pengorbanan saya berbaloi untuk menangguhkan seketika pelancaran single ini,” katanya.

Malah, pelakon filem ... Dalam Botol ini percaya akan ada rezeki baharu buatnya.

“Mungkin selepas keluar daripada program ini, saya berasakan karier sebagai penyanyi lebih konsisten,” katanya.

Pada masa sama, Arja turut menyifatkan penyertaannya dalam Gempak Superstar turut membantu kewibawaannya sebagai anak seni.

“Menerusi program seperti ini, saya dapat melihat sejauh mana Arja Lee mampu pergi dalam industri seni. Bagi saya, perjuangan baharu sahaja bermula. Saya sentiasa menguji kewibawaan dalam menghasilkan karya yang terbaik,” katanya.

Mengakui popularitinya ada mengalami peningkatan, Arja sebaliknya tidak meletakkan ia sebagai satu kepuasan.

“Untuk menjadi hebat, saya tidak perlu popular. Saya mahu menjadi yang berkualiti. Jadi, bagi merealisasikannya, saya mahu orang kenal saya kerana kredibiliti, kemampuan dan kehebatan yang ada,” katanya.

Musim kedua?

Dalam pada itu, ekoran sambutan yang memberangsangkan daripada penonton, Astro Ria turut berhasrat untuk terus menyambung penerbitan rancangan ini kelak.

Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, keputusan itu bertitik tolak daripada kejayaan Gempak Superstar mencipta trending pada saban minggu.

“Walaupun ia sebuah rancangan baharu, program realiti ini terus mencipta trending tersendiri setiap kali bersiaran langsung. Reaksi daripada penonton sangat bagus, dan kerana itu kita ada perancangan untuk menerbitkan musim baru,” katanya.

Namun begitu, kata Raqim, cabaran utama adalah terletak kepada bakat yang mahu diketengahkan.

“Kita perlukan bakat yang berkemampuan untuk memberikan komitmen sepenuhnya dalam program ni. Malah, untuk memilih pelakon yang boleh menynyi juga merupakan satu cabaran besar apatah lagi dengan jadual yang cukup padat.

“Jadi, kita perlu membuat beberapa penilaian terlebih dahulu,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan di malam akhir Gempak Superstar, Raqim mengakui berpuas hati dengan pencapaian setiap peserta.

“Malam ini, kita melihat persembahan yang sangat sengit daripada semua peserta. Rata-ratanya berjaya mengekalkan konsistensi persembahan dan memberi 100 peratus kesungguhan,” katanya.

Selain Siti Elizad, Sherry dan Arja, pentas akhir Gempak Superstar turut menobatkan Soffi Jikan dan Nazim Othman sebagai pemenang tempat keempat dan kelima.

Mereka diadili oleh dua juri tetap iaitu Fauziah Ahmad Daud dan Amy Mastura serta pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam yang bertindak sebagai juri jemputan sekali gus mewakili 50 peratus pemarkahan manakala bakinya menerusi undian SMS.

Sebelum itu, setiap finalis dikehendaki mempersembahkan dua lagu secara solo dalam dua pusingan berbeza berdasarkan dua genre yang berbeza.

Program itu turut dimeriahkan dengan kehadiran artis jemputan seperti Azlan & The Typewriter, Projector Band dan Amy Search.

Gempak Superstar yang diacarakan oleh dua pelakon popular, Scha Al Yahya dan Sharnaaz Ahmad itu, dipancarkan secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104), Astro Ria HD(saluran 123), Astro Prima (saluran 105) dan Astro Maya HD (saluran 135) dari Studio Pinewood Iskandar Malaysia, Johor Bahru.
Powered by Blogger.