F Fatin Nuraisya kesal akaun Facebook palsu masih wujud | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Fatin Nuraisya kesal akaun Facebook palsu masih wujud

Finalis program realiti, Clever Girl Malaysia (CGM), Fatin Nuraisya Mohd Hanipha, 28, kesal pihak tertentu masih mengaktifkan akaun Facebook palsunya biarpun dia sudah membuat laporan kepada pihak berkuasa. Fatin yang juga seorang peguam berkata, semakan mendapati akaun palsu terbabit masih wujud dan dikhuatiri menjejaskan imej dan reputasi dirinya yang bakal beraksi di pentas akhir CGM, minggu depan.

"Sebelum ini, saya sudah membuat laporan polis dan mengadu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Saya dapati akaun terbabit sudah dipadamkan. "Namun, beberapa hari selepas laporan dibuat iaitu ketika saya bersaing pada peringkat 'wild card', akaun terbabit wujud semula. "Jika sebelum ini, akaun terbabit meletakkan gambar saya yang diambil daripada laman Instagram, kali ini perbuatan pihak bertanggungjawab makin melampau. "Individu terbabit bertindak menceroboh laman sosial peribadi saya lalu mengambil gambar untuk dipaparkan dalam akaun palsu itu," katanya kepada BH Online. Lebih memburukkan keadaan, dakwa Fatin, individu terbabit mula berkomunikasi dan bertindak memberi komen berbaur negatif pada laman sosial milik orang lain. "Apabila perkara ini berlaku, secara tidak langsung ia mencalarkan reputasi saya," katanya yang ditemui pada sidang media selepas berakhirnya program CGM peringkat separuh akhir di Sri Pentas 2 Plaza Alam Sentral di sini, malam tadi. Pada pertandingan itu, Fatin yang berasal dari Kelantan bersama tiga peserta lain iaitu Arina Mohd Fairin Lum, 26, dari Selangor; Mary Josephine Muhammad Houston, 26, (Pahang) dan Jane Lam Wai Chuin, 24, (Perak) mara ke peringkat akhir. Ditanya apakah dia menjadi mangsa sabotaj pihak yang tidak berpuas hati dengan kejayaan diserap semula bersaing di pentas CGM, graduan Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) ini tidak mahu menuduh sesiapa. "Saya tak mahu menuduh sesiapa. Hubungan saya dengan peserta lain, baik-baik saja. Malah, mereka yang berjaya ke peringkat akhir memang rapat dengan saya," katanya.


Powered by Blogger.