F Fathia teruja bakal berlakon dengan Noorkumalasari | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Fathia teruja bakal berlakon dengan Noorkumalasari

Pelakon Filem Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29), Fathia Latiff, cukup teruja untuk berlakon buat julung kali di sisi bintang berpengalaman, Noorkumalasari. Lebih bermakna, penggambaran telefilem terbitan Zeel Production membabitkan mereka itu akan diadakan di Makkah, Madinah dan Jeddah. Justeru, pelakon jelita berkenaan turut menggunakan peluang terbabit bagi mengerjakan umrah buat kali kedua. Kata Fathia, kali pertama beliau menunaikan ibadat berkenaan ketika dirinya masih belajar dalam darjah enam. Fathia dan beberapa pelakon yang terbabit dalam penggambaran dijadualkan terbang ke Tanah Suci pada 15 Mei ini dan dijangka berada di sana sehingga 25 Mei. "Ada beberapa telefilem dan drama yang akan dirakam di sana. Paling mengujakan saya pastinya untuk berlakon bersama bintang lama, Noorkumalasari. "Tidak sabar sebenarnya hendak rasai pengalaman itu kerana saya bukan dilahirkan pada zaman kegemilangannya dan saya juga belum mengenalinya secara dekat. Begitupun secara peribadi saya kagum dengan apa yang dilakukannya dan beliau juga antara ikon bertudung di kalangan pelakon. "Bagi saya, beliau berada dalam liganya tersendiri. Pastinya bukan saya saja yang teruja hendak melihat beliau berlakon semula, sudah tentu peminatnya juga berperasaan sama kerana sudah lama juga Kak Noor tidak muncul dalam drama atau telefilem," katanya yang ditemui pada majlis sambutan 10 tahun majalah Cosmopolitan Malaysia, di sini semalam. Sementara itu, Fathia turut berkata, sudah beberapa kali beliau diberikan peranan wanita bertudung sebelum memutuskan untuk berhijab sepenuhnya. "Ketika itu, ada masanya saya mengenakan tudung dan ada ketikanya tidak berbuat begitu. Pernah terjadi, saya tiba-tiba jadi segan untuk membuka tudung dan mengenakan pakaian yang agak seksi. "Dalam hati saya terdetik, sesiapa saja boleh berubah menjadi lebih baik dan jangan kita pantas mengadili seseorang itu. Kita tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup ini," katanya.


Powered by Blogger.