F Fathia tekad terus istiqamah | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Fathia tekad terus istiqamah

SEJAK mula bertudung awal April lalu, kelibat Fathia Latiff kembali menjadi perhatian dan rata-rata memuji penghijrahannya itu.

Namun bagi gadis berusia 29 tahun ini, masih banyak yang perlu dipelajari bagi memastikan dia terus istiqamah dengan imej baharunya itu.

Bagaimanapun akui anak kelahiran Pulau Pinang ini, dia kini semakin tenang.

"Alhamdulillah, Fathia kini lebih tenang dan rasa lebih yakin. Malah hidup juga rasa lebih teratur sejak bertudung.Fathia juga cuba perbaiki diri, sertai usrah dan Fathia tidaklah rasa diri Fathia terus jadi baik atau bagus sejak bertudung.

"Fathia masih dalam proses belajar dan Fathia harap semua orang doakan Fathia untuk terus istiqamah," katanya kepada Zass ketika ditemui pada pelancaran Avon Matte-ness, baru-baru ini.

Mengimbau kembali keputusannya bertudung, Fathia berkata, segalanya bermula apabila dia berlakon beberapa drama yang memerlukan dia bertudung.

Dari situ, dia mula merasa segan untuk membuka tudung dan semakin selesa bertudung.

"Ketika penggambaran untuk Avon, Fathia dah mula mengenakan tudung, namun kerana kontrak dan tidak mahu menyusahkan pihak Avon, Fathia membuka tudung ketika bekerja dan kembali memakai tudung apabila pulang.

"Bagaimanapun Alhamdulillah pihak Avon sangat menyokong perubahan Fathia dan mereka tetap meneruskan kontrak setahun lagi bersama Fathia.

"Dan lebih manis, mereka akui, Fathia duta pertama mereka yang bertudung," katanya.

Menyentuh mengenai gincu bibir Matte-ness ini, Fathia berkata, dia mulanya mempunyai sedikit sikap prejudis terhadap jenama itu dan semuanya berubah apabila dia mencuba sendiri.

"Mula-mula Fathia ragu-ragu juga, tapi bila sudah mencuba Fathia sangat kagum. Tambahan pula, harganya lebih murah daripada jenama lain dan kualitinya sangat bagus," katanya.

Sementara itu, ditanya adakah dia bersedia untuk duduk berkongsi pengalaman bersama orang lain, Fathia berkata, dia sedia mempertimbangkan sekiranya sesuai.

"Fathia sendiri masih mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar daripada ustaz. Malah mama sendiri pesan, yang bagi ceramah biarlah yang mendapat tauliah.

"Tapi jika perkongsian pengalaman, Fathia sedia pertimbang andai bersesuaian," katanya.

Tambah Fathia, dia juga tidak melihat tudung sebagai satu masalah besar apabila pihak produksi juga mula memahami dan menghormati penghijrahannya itu.

"Bila Fathia dapat tawaran, Fathia awal-awal bagi tahu mereka, Fathia dah bertudung, tapi Alhamdulillah mereka faham dan siap bagi tahu mereka tidak ada masalah dan Fathia tidak perlu buka tudung," katanya.

Impian kecil

Dalam perkembangan lain, Fathia berkata, dia bakal tampil dengan koleksi pakaian dan tudung di bawah label DARA By Fathia Latiff.

Koleksi itu juga termasuklah dengan baju raya tidak lama lagi.

"Ingin Fathia tegaskan, Fathia bertudung bukan kerana projek ini. Projek ini sudah dibincangkan sebelum Fathia bertudung lagi. Cuma bila Fathia bertudung, pihak yang berkolaborasi dengan Fathia cadangkan untuk keluarkan koleksi tudung, sesuai dengan baju.

"Jadi Fathia turutkan sahaja kerana ia bersesuaian," jelasnya.

Mempunyai impian kecil untuk mengangkat imej Muslimah dengan penggayaan baju dan tudung yang lebih baik, Fathia berharap impiannya itu akan terlaksana suatu hari nanti.

"Kalau boleh Fathia mahu martabatkan lagi imej wanita Islam, biarpun mereka bertudung. Fathia kira tidak salah untuk kita bergaya asalkan tidak keterlaluan dan menutup aurat.

"Bagaimanapun semua ini masih dalam perancangan dan Fathia berharap ia akan terlaksana suatu hari nanti," akhirinya.
Powered by Blogger.