F Emilia Clarke semakin dikenali | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Emilia Clarke semakin dikenali

EMILIA Clarke mungkin nama yang asing buat peminat filem antarabangsa, namun tanggapan itu berbeza bagi mereka yang benar-benar mengikuti drama popular Games Of Thrones.

Watak yang dipegang sebagai Daenerys Targaryen menerusi drama adaptasi itu benar-benar memberi impak kepada perjalanan seninya apabila ia berjaya menggalas peranannya dengan baik.

Perkara itu terbukti apabila dia turut tercalon sebanyak dua kali dalam kategori pelakon pembantu terbaik drama siri 2013 dan 2015 menerusi anugerah Emmy Award.

Kemampuannya itu juga sekali gus melayakkannya membintangi watak Sarah Connor menerusi filem Terminator: Genisys di samping barisan pelakon Arnold Schwarzenegger, Jai Courtney dan Jason Clarke.

Menyelak semula perjalanan awalnya, aktres berusia 29 tahun ini mewarisi darah seni menerusi bapanya yang merupakan seorang jurutera bunyi pementasan teater.

Sejak berada di bangku sekolah lagi, Emilia telah menunjukkan minatnya dengan aktiviti pementasan.

Memandang serius dengan kebolehannya, Emilia menyambung pengajiannya di Drama Centre London.

Dari situ juga bakatnya mula dicungkil dalam pembabitannya sebagai pelakon menerusi filem pendek yang dihasilkan oleh pelajar Universiti London.

Sejak itu dia mulai serius dan mendapat pelbagai tawaran dalam lakonan.

Wanita paling seksi

Berilah apa sahaja watak, pasti aktres cantik ini tidak akan mengecewakan penontonnya.

Kehebatannya dalam menguasai dan menghidupkan peranannya dalam sesebuah lakonan sekali lagi telah melayakkannya untuk dinobatkan sebagai wanita paling seksi 2015 oleh majalah popular Esquire.

Penghargaan itu sekali gus mengetepikan Penelope Cruz sebagai pemegang gelaran itu tahun lalu.

"Dia mampu jadi agresif, dia boleh jadi permaisuri, dia boleh jadi kakak kepada kanak-kanak, atau dia juga boleh jadi pembunuh dan sebagainya," tulis Benjamin Markovits dalam majalah keluaran November tahun lalu.

Pemilihannya sebagai penghias muka depan majalah popular itu turut menjadi platform buatnya mencipta nama sekali gus memperluaskan bakatnya.

Lakonan berbeza

Tidak hanya muncul dalam karya-karya fantasi, dalam projek terbarunya, Emilia kini tampil dengan lakonan filem romantis, Me Before You adaptasi novel nukilan Jojo Moyes bergandingan dengan aktor kacak, Sam Claflin.

Menerusi filem itu, Emilia memegang watak utama sebagai Louisa Clark yang memiliki karakter berbeza daripada watak yang pernah dilakukannya sebelum ini.

"Sebelum menjalani penggambaran, saya membaca novel ini dan apa yang boleh dikatakan ia adalah novel paling indah yang pernah saya baca.

"Kisah yang dipaparkan benar-benar menyentuh perasaan saya sehingga saya rasa ia mengenai diri saya," katanya menerusi laporan Ace Showbiz.

Selain Emilia dan Claflin, filem arahan Thea Sharrock itu turut dibintangi Jenna Coleman, Ben Lloyd-Hughes, Charles Dance, Janet McTeer dan Matthew Lewis.

Me Before You mengisahkan seorang gadis di sebuah perkampungan kecil yang menjalin hubungan tanpa disedari dengan lelaki lumpuh yang dijaga olehnya.

Bagaimanakah kesudahannya? Nantikannya di pawagam menjelang 2 Jun ini.
Powered by Blogger.