F Dollah Cantek: Pengacara bukan semudah disangka | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dollah Cantek: Pengacara bukan semudah disangka

SESIAPA sahaja yang ditemui, pasti akan ditegur dan disapa dengan begitu mesra. Sesuai pula dengan perwatakannya yang agak ‘gila-gila’ apatah lagi mulutnya jenis kuat berceloteh!

Ya... itulah Abdullah Ibrahim atau nama glamornya, Dollah Cantek.

“Saya memang suka bercakap sedari kecil lagi. Saya rasa hidup ini bagaikan tidak indah jika tidak bercakap. Bakat ALLAH SWT bagi, kalau tidak dipraktikkan, sayang pula (ketawa),” katanya kepada Zass.

Kerana itu, maka tidak hairanlah apabila Dollah akhirnya melibatkan diri dalam bidang pengacaraan majlis.

Mungkin namanya tidak sepopular  Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Nawawi, namun pengalamannya di pentas pengacaraan juga tidak kurang hebatnya.

“Saya sendiri menjadikan dua figura itu sebagai idola. Jujurnya, saya sangat mengagumi kejayaan kedua-dua selebriti tersebut dalam bidang ini,” katanya.

Suaranya yang bertenaga, penyampaiannya bersahaja serta intonasinya ‘sedap’ didengar ketika mengacara, menjadikan Dollah antara pengacara yang cukup digemari bagi mengendalikan sesebuah majlis.

“Saya banyak terlibat dalam program hiburan seperti sidang media program dan Malam Gala Filem. Saya juga terlibat sebagai pengacara dalam majlis perkahwinan selebriti seperti Jihan Muse, Shahrul Shiro dan terbaru, Feeya Iskandar.

“Kini, saya tampil sebagai pengacara dalam program Pameran Artifak Rasulullah SAW & Para Sahabat di Melaka. Walaupun ia bersifat ‘mudah’ dan santai, banyak perkara yang perlu diambil tahu,” katanya.

Tambahnya, seseorang pengacara tidak boleh terlalu bergantung dengan skrip yang diberikan.

“Macam saya, skrip yang diberikan hanya dijadikan sebagai rujukan. Pengetahuan utama tetap perlu ada.

“Bagi ‘menghidupkan’ suasana pula, saya akan guna pakai lenggok bahasa yang santai.Saya juga kadang-kala akan berjenaka dan berlawak mengikut situasi,” katanya.

Jelasnya, pengacara yang baik perlulah bijak, bersikap pemerhati selain rajin membuat kajian dan penyelidikan mengenai program yang bakal dikendalikan.

Mampu bertahan lama

Sinonim dengan program hiburan, kata Dollah, ‘acuan’ itu diperoleh hasil daripada menimba pengalaman bekerja di Astro.

“Karier saya bermula sebagai pengurus pentas sejak 15 tahun lalu. Dalam tempoh itu, saya sudah mengendalikan pelbagai program besar seperti Akademi Fantasia, Raja Lawak, Sehati Berdansa, Pencetus Ummah, Maharaja Lawak Mega dan Kilauan Emas.

“Di samping itu, saya juga memenuhi beberapa tawaran pengacaraan secara separuh masa,” katanya.

Namun, akibat penstrukturan semula syarikat, nama Dollah turut ditawarkan dalam Skim Pemberhentian Kerja, tahun lalu.

Menerima dengan hati terbuka, dia yakin kerjaya dalam bidang pengacaraan mampu bertahan dan pergi lebih jauh.

“Saya bersyukur dengan keputusan yang dibuat kerana saya tahu, pasti ada hikmah di sebaliknya. Jika saya tidak berhenti kerja, sudah tentu saya masih lagi bergelar pengurus pentas dan bakat saya juga mungkin tidak akan berkembang.

“Saya percaya, bakat saya adalah di depan kamera. Lagipun, saya pernah menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan kebudayaan serta kesenian sejak dari bangku sekolah lagi,” katanya.

Tambahan pula, Dollah merupakan bekas pelajar dalam bidang perfileman di Akademi Filem Malaysia.

“Jujurnya, saya sememangnya meminati bidang ini terutamanya yang melibatkan kerja-kerja belakang tabir.

“Selain itu, saya juga ada ambil beberapa kursus yang berkaitan dengan bidang perfileman seperti teknik pencahayaan, pengarahan, kamera dan sinematografi," katanya.

Malah, Dollah pernah menimba pengalaman dengan bekerja di belakang tabir.

“Saya pernah bekerja dengan pengarah, Mamat Khalid menerusi filem Lang Buana.

Ketika itu, saya bertindak sebagai penolong pengarah.

“Saya juga ada berlakon dalam beberapa drama dan filem seperti Zombi Kilang Biskut.

“Mungkin ramai tidak menyedari, tetapi sayalah pelakon utama dalam iklan komersial P1 WiMax, Potong Potong yang pernah mencetuskan fenomena tidak lama dulu,” katanya.

Mahu Jadi Pengarah

Justeru, bagi memanjangkan lagi langkahnya sebagai pengacara, Dollah menubuhkan syarikatnya, Dollah Cantek Production, sejak setahun lalu.

Katanya, buat masa ini, syarikatnya itu hanya mengetengahkan dirinya sebagai individu utama dalam bidang pengacaraan.

Namun, Dollah turut menanam impian untuk meluaskan rumah produksinya itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pada masa sama, Dollah turut bercita-cita bergelar seorang pengarah selain memiliki sebuah program ‘talk show’ sendiri.

“Angan-angan saya adalah untuk melahirkan konsep ‘Cinema Variety’. Itu adalah cita-cita yang dipendam sejak dari 1995 lagi.

“Kalau hendak diikutkan, saya sudah mempunyai program ‘talk show’ sendiri, Dollah Cantek yang dibuat sejak 2008. Namun, atas sebab-sebab tertentu, program lapan episod itu tidak dapat disiarkan di kaca televisyen sehingga hari ini,” katanya.
Powered by Blogger.