F Diana realisasi impian sejak kecil | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Diana realisasi impian sejak kecil

Selepas hampir 11 tahun mencanai bakat dalam industri seni tanah air, impian pelakon Diana Danielle, 25, untuk bergelar penyanyi akhirnya menjadi kenyataan apabila bakal melancarkan single sulung selepas Aidilfitri ini.

Pemilik nama sebenar Diana Danielle Danny Beeson itu mengakui bergelar penyanyi adalah impiannya sejak kecil tetapi rezekinya lebih berpihak kepada lakonan.

“Sejak kecil saya mahu jadi penyanyi tetapi rezeki bergelar pelakon yang datang dulu.

“Justeru, saya nekad untuk bergiat aktif dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang nyanyian supaya hasrat yang dipendam selama ini dapat direalisasikan,” katanya.

“Bagi saya, menyanyi bukan hanya sekadar berseronok, sebaliknya mahu menguji kemampuan diri,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran kafe miliknya, Born & Bread’s.

Sambung Diana lagi, tahun ini masa paling sesuai untuknya fokus pada bidang nyanyian kerana sudah ada perancangan rapi.

“Setiap perkara yang ingin dilakukan perlu ada perancangan dan masa kena tepat. Saya yakin 2016 adalah masa paling sesuai untuk saya hadiahkan single solo pertama kepada peminat.

“Lagipun dengan status sekarang, saya rasa menyanyi lebih sesuai kerana ia tidak mengambil masa terlalu lama seperti berlakon. Namun, itu tidak bermakna saya akan meninggalkan kerjaya lakonan, cuma fokus lebih kepada nyanyian,” katanya.

Tambah Diana, dia bertuah kerana dikurniakan suami yang berfikiran terbuka dan sentiasa menyokong minatnya.

“Farid antara individu yang menyokong saya. Dia percaya saya tidak suka ambil mudah dengan apa yang diusahakan.

“Contohnya, apabila saya beritahu mahu buka kafe, saya buat betul-betul. Begitu juga dengan karier nyanyian. Saya sudah ada beberapa single yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Menyentuh mengenai kafe yang diusahakan, Diana mengakui berpuas hati apabila usaha keras bersama tiga rakan kongsi berhasil.

“Saya tidak pernah terfikir akan sampai ke tahap ini kerana banyak cabaran yang kami lalui. Perancangan selama dua tahun sangat berbaloi dan kami bersyukur,” katanya.

Tiga lagi rakan kongsi Born & Bread’s ialah Arslan Zolkifli, Farhana Osman dan Khalil Firuz.
Powered by Blogger.