F Dato’ Seri adaptasi karya hebat William Shakespear | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dato’ Seri adaptasi karya hebat William Shakespear

NASKHAH ini merupakan adaptasi The Tragedy of Macbeth yang merupakan karya popular sentuhan William Shakespeare.

Menggunakan judul Dato’ Seri, teater ini berkisarkan seorang bangsawan berdarjat tinggi yang taksub dalam memburu pangkat, harta dan kuasa.

Kerana obsesinya itu, dia sanggup membelakangi raja dan perjuangannya sendiri.

Berkongsi mengenai teater sentuhan gandingan bapa dan anak, iaitu Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan Omar Ali ini, ia menampilkan watak utama, Dato’ DiKajang yang berhadapan ujian hidup sehingga memberikan impak kepada diri serta keluarganya dalam mencari permasalahan kepada dugaan itu.

Menurut Omar Ali, idea untuk mementaskan teater ini lahir apabila Joe Hasham dan Datuk Faridah Merican menyatakan kepadanya mengenai penganjuran siri karya William Shakespeare sepanjang tahun 2016.

“Perkara tersebut saya sampaikan kepada ayah dan dia kemudiannya menyambut baik berita tersebut.

“Tanpa membuang masa karya ini dipilih kerana pada kami antara keindahan Macbeth ialah keluasan perspektif naratifnya,” katanya.

Jelasnya, karya itu juga yang bukan hanya menyentuh penggunaan kuasa dalam konteks masyarakat yang mengamalkan budaya feudal, malah turut mendalami kesan dan impak kuasa terhadap hati, minda dan jiwa mereka yang berada di kerusi pemimpin.

“Macbeth adalah watak seorang wira tragis, justeru ia pasti akan mengetuk pintu hati dan minda kita semua.

“Bukan sahaja dalam kalangan yang berkerjaya memburu kuasa, malahan semua masyarakat, termasuk yang dibebani tanggungan hidup seharian dan mereka yang terkesan oleh sikap, minda dan nilai hidup yang mendasari tindakan golongan berkuasa di puncak hieraki politik setempat,” katanya mengenai teater yang dipentaskan di bawah The Actors Studio Seni Teater Rakyat ini.

Kekalkan keaslian

Tambah Omar, pementasan sempena 400 tahun kematian Shakespear itu masih mengekakalkan keaslian karya asalnya.

“Keaslia karya beliau mesti terus dihormati. Kami utamakan hal ini dalam karya Dato’ Seri dengan memilih jalan cerita, nada, kaedah adaptasi yang tidak menyimpang jauh daripada landasan aslinya.

“Ia satu tugas sangat mencabar dan tanggungjawab menakutkan, tetapi kami memberanikan diri,” katanya.

Ujarnya juga, tidak wajar jika keaslian dasar karya Shakespeare dirosakkan atau diubah sesuka hati.

“Sekian lama ia diminati dan disanjung tinggi, jika dilihat tidak baik atau rosak di mata peminatnya, pasti tidak elok.

“Apa pun kami harap adaptasi ini dapat memenuhi dan mencapai maksud serta hasrat menyampaikan mesej karya besar ini, terutamanya apabila ia diterjemahkan kepada Bahasa Melayu,” katanya.

Sementara Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, walau pun karya ini ditulis 400 tahun dahulu dalam konteks sebuah masyarakat yang jauh terasing dan sangat berbeza nilai hidup dan budaya, ianya sarat dengan mesej tersendiri.

“Boleh dikatakan sebagai sebuah pengajaran yang sangat relevan kepada realiti politik dan sekitaran hidup masa kini,” katanya.

Dato’ Seri akan dipentaskan di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) dari 1 hingga 5 Jun ini dan dijayakan oleh Radhi Khalid, Safia Hanifah, Na’a Murad, Reza Minhat serta penampilan istimewa oleh Datuk Faridah Merican.

Ia juga mendapat sentuhan Datuk Faridah Merican selaku Penerbit Eksekutif bersama Joe Hasham sebagai Pengarah Kesenian Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Powered by Blogger.