F Dari bidang korporat ke seni teater | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dari bidang korporat ke seni teater

BELIAU dikenali dalam bidang korporat. Perniagaan adalah asas kerjayanya. Menyebut namanya, ramai akan tahu apakah kejayaan yang pernah dicapai sepanjang berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Tan Sri Muhammad Ali Hashim, satu nama yang sudah tidak asing lagi. Namun 2016, langkah mula beliau dalam bidang seni. Beralih arah dari bidang korporat ke bidang seni, ia bukan kejutan buat dirinya kerana meminati bidang itu sejak di bangku sekolah lagi.

Teater Dato’ Seri adalah adaptasi daripada karya William Shakespeare iaitu The Tragedy of Macbeth menjadi pilihannya untuk diadaptasi. Apakah yang mendorong penglibatan beliau ke dunia seni ini? Zass mendapatkan penjelasan beliau.

Sejak bila sebenarnya minat dengan bidang seni?

Saya minat seni sejak kecil lagi. Saya suka melukis dan menulis. Cuma untuk kerjaya, saya memilih korporat namun untuk berjaya, perlu ada seninya juga. Kreativiti, imaginasi dan inovasi bagi memantapkan sesuatu kerjaya.

Mengapa baru sekarang Tan Sri berminat untuk aktif dalam bidang seni?

Saya berasakan ia adalah masa paling sesuai memandangkan keadaan semasa yang berlaku. Hari ini sudah ada kebimbangan yang begitu besar terutamanya untuk bangsa Melayu khususnya dalam masa hadapan politik. Ia sangat relevan untuk saya cuba ke hadapan dalam bidang ini.

Siapa yang membuka peluang ini?

Ia datang dari Datuk Faridah Merican selaku Penerbit Eksekutif bersama Joe Hasham sebagai Pengarah Kesenian Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC) bersempena ulang tahun Shakespeare yang ke-400. Jadi untuk itu, mereka memerlukan persembahan teater yang boleh mengangkat lagi nama KLPAC ini. Saya menyahut cabaran dan bekerjasama dengan anak saya Omar Ali yang juga merupakan pengarah residen di sana. Kami bekerjasama untuk naskhah ini. Saya lebih kepada olahan skrip dan Omar selebihnya. Itu kepakarannya mengarah dan menentukan siapakah pelakon-pelakon yang dirasakan sesuai. Dapat menulis skrip pun saya dah ok.

Karya William Shakespeare mana yang menjadi pilihan?

Apabila Omar bertanya karya mana yang mahu dipentaskan. saya mencadangkan The Tragedy of Macbeth kerana karya ini pernah saya belajar sewaktu di bangku sekolah dulu. Ketika itu, kami belajar dan memahami setiap karya-karya seni. Saya faham apa yang cuba disampaikan menerusi karyanya. Omar setuju dan bermulalah episod skrip dan sebagainya. Pemilihan karya ini saya rasa begitu dekat dengan realiti kehidupan hari ini. Latar ceritanya banyak persamaan dengan budaya dan politik semasa.

Berapa lama ambil masa untuk membuat skrip?

Saya dapat tahu mengenai hal ini pada pertengahan 2015. Pada awalnya, saya terjemahkan secara terperinci mengenai karya ini, kemudian skrip ditulis secara bersama. Karya asal adalah bahasa Inggeris, dan kami olah mengikut masyarakat kita. Mesej-mesej dalam karya ini juga kita cuba terjemahkan mengikut acuan orang kita termasuklah penyampaian maksudnya. Kita cuba ubah agar ia mudah difahami penonton. Untuk keseluruhan, kurang setahun untuk disiapkan. Ia termasuklah pemilihan pelakon dan sesi latihan.

Bagaimana tajuk pementasan ini ditentukan?

Sewaktu saya dan Omar berbincang, Omar terus mencadangkan nama Dato’ Seri. Saya setuju kerana ia tidak lari daripada jalan cerita dalam skrip ini.

Apakah yang dimaksudkan dengan Dato' Seri?

Nama Dato’ Seri ini diambil mewakili orang-orang bangsawan sekitar 1960-an. Saya mengangkat kisah yang berlaku pada era itu. Maksud tidak lari daripada karya asal, Cuma saya olah kepada kehidupan masyarakat pada era 1960-an, dengan mempamerkan kehidupan mereka. Kami juga menggunakan keris sebagai lambang kekuasaan. Ceritanya mengenai bangsawan yang lupa diri apabila mendapat harta, pangkat dan kehidupan yang selesa. Apabila tamak mengusai diri, mereka mula hilang pertimbangan. Saya angkat budaya Melayu kerana ia dekat dengan kehidupan hari ini. Istilah-istilah yang dalam pementasan ini juga diambil dengan latar yang sama pada zaman itu.

Apakah lagi kisah di sebalik Dato’ Seri ini?

Saya kira budaya pada era itu dekat dengan hari ini. Budaya dan politiknya sama. Dalam naskhah ini saya tampilkan tiga bomoh wanita yang cuba mempengaruhi si bangsawan yang tamak. Merekalah yang mempengaruhi untuk bangsawan ini lupa diri, bersikap menderhaka dan melakukan perkara-perkara mungkar. Banyak pengajaran yang boleh kita dapat. Mesej-mesej disampaikan secara terus supaya penonton dapat berfikir.

Bagaimana bekerjasama dengan anak sendiri?

Saya senang bekerja dengan Omar. Kami tahu tugasan kami masing-masing. Nampak ada keserasian di antara kami. Objektif kami sama.

Bilakah tarikh pementasan teater ini?

Ia akan dipentaskan bermula pada 1 Jun hingga 5 Jun hadapan di Pentas 2, KLPAC, Sentul Park, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Siapakah antara pelakon teater ini?

Pelakon utamanya adalah Radhi Khalid, Safia Hanifah, Na’a Murad, Redza Minhat serta penampilan istimewa oleh Datuk Faridah Merican sendiri yang akan berlakon sebagai bomoh.
Powered by Blogger.