F Cina Sarawak, Cina Semenanjung 'berperang' | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Cina Sarawak, Cina Semenanjung 'berperang'

HASIL keputusan PRN Sarawak, kelmarin, yang membawa kemenangan cemerlang kepada BN mencetuskan perang mulut antara pengundi Cina Sarawak dengan Cina Semenanjung di laman sosial.

DAP yang bertanding sebanyak 31 kerusi hanya menang tujuh, jauh merosot berbanding 12 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu.

Ini jelas menunjukkan DAP yang diwakili calon-calon Cina yang bertanding di majoriti kawasan Cina telah ditolak oleh pengundi dengan memberikan sokongan padu kepada BN di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.

Orientaldaily melaporkan, setelah DAP mengalami kekalahan yang agak teruk, didapati ramai Cina di Semenanjung melahirkan rasa tidak puas terhadap pilihan yang dibuat oleh pengundi Cina di Sarawak.

Akhbar ini menulis, apa yang dapat dilihat melalui laman Facebook DAP, ramai Cina Semenanjung memberikan komen dengan menuduh Cina di Sarawak masih ‘tidur’ dan tidak mampu melihat jelas realiti sebenar.

DavidTang, seorang penduduk Semenanjung, mendakwa Cina Sarawak sanggup menolak pembangunan dan rela mahu Sarawak terus dihimpit kemiskinan. Selain itu, dia turut menyindir Cina Sarawak bahawa anak cucu mereka akan terus hidup miskin dalam lima tahun akan datang.

Dakwaan itu bagaimanapun mendapat kecaman daripada Alice Wong SC yang meminta Cina Semenanjung berhenti daripada terus mengkritik pilihan yang dibuat pengundi Cina.

“Kita dah berusaha. Pergilah marah orang yang sokong BN. Kenapa tuduh semua orang Sarawak? Kami sokong DAP pun nak kena perli?”, katanya.

Dalam pada itu, hampir semua akhbar Cina membuat rumusan bahawa kemenangan BN yang memperoleh 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan adalah ‘faktor Adenan’.

Sin Chew Jit Poh menulis, imej dan kepimpinan yang dibawa oleh Adenan terbukti diterima baik oleh masyarakat Cina di Sarawak.

Akhbar ini memuji Adenan bukan sahaja mengukuhkan kubu kuat di kawasan Melayu, bahkan beliau berjaya menghakis penguasaan DAP sehingga berjaya merampas lima kerusi daripada parti pembangkang itu.

Cina Sarawak yakin pada janji-janji yang dibuat Adenan walaupun beliau pertama kali mengetuai jentera BN untuk PRN. Masyarakat Cina di Sarawak inginkan dasar yang saksama dan telus, tulis akhbar itu lagi.

Itulah harapan mereka pada Adenan seperti yang diucapkan oleh Adenan sepanjang kempen PRN dan sebagai balasan, Adenan memperoleh sokongan padu daripada pengundi Cina.

Akhbar ini percaya pengundi Cina bukan kaum yang tidak tahu mengenang budi. Mereka sedia kembali memberikan sokongan kepada BN demi memastikan Sarawak mencapai kemajuan dan kejayaan.

Sementara itu, China Press melaporkan, DAP menerima kekalahan dengan hati yang terbuka dan telah mengenal pasti beberapa punca sebenar akan kekalahan lima kerusi yang diterima mereka.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dipetik sebagai berkata, partinya mengakui kekalahan ini namun tetap yakin strategi yang digunakan adalah betul.

Katanya, keputusan PRN kali ini sama dengan keputusan yang diperoleh partinya dalam PRN 2006. Ketika itu, DAP juga memenangi enam kerusi.

“DAP akan kembali bergerak semula untuk terus memasuki ke kawasan-kawasan pedalaman. Kami tidak akan tertumpu pada kawasan bandar sahaja. DAP akan dilihat lebih berjaya kalau amalkan dasar pelbagai kaum,” katanya.
Powered by Blogger.