F Bunga mahu warnai dunia seni Malaysia | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Bunga mahu warnai dunia seni Malaysia

NAMA Bunga Citra Lestari atau lebih dikenali juga dengan panggilan BCL, bukanlah asing di Malaysia.

Bahkan sejak mendirikan rumah tangga dengan pelakon dan pengacara, Ashraf Sinclair pada 2008, nama Bunga seolah menjadi sebahagian selebriti Malaysia.

Dan kini selepas tiga bulan berulang-alik dari Jakarta, Indonesia ke Kuala Lumpur, Bunga mengakui semakin jatuh cinta dengan sambutan peminat terhadapnya di negara ini.

Dek kerana itu, ujar wanita berusia 33 tahun ini, dia teringin untuk bergerak lebih serius dan mewarnai industri seni tempatan, termasuk membintangi filem daripada produksi tempatan.

"Sejujurnya kalau boleh, saya mahu berada lebih lama di Kuala Lumpur dan saya juga kadang-kala mencari alasan untuk berada di Kuala Lumpur.

"Malah selepas tiga bulan berulang-alik Jakarta-Kuala Lumpur-Jakarta, saya rasa sudah tiba masanya saya lebih serius dengan industri seni Malaysia.

"Jika Ashraf diterima baik oleh karyawan di Indonesia, saya juga berharap saya diterima baik di sini," katanya kepada Zass ketika ditemui pada tayangan perdana filem terbaharu lakonannya, My Stupid Boss.

Tambah ibu kepada Noah Sinclair ini, dia kini cuba menyusun masa sebaik mungkin untuk berada lebih lama di Kuala Lumpur dan sedia bekerjasama dengan mana-mana penganjur, stesen TV mahupun produksi.

"Sekarang saya agak sibuk dengan promosi filem My Stupid Boss dan dalam masa yang sama, single terbaru saya, Mungkin Suatu Hari sudah mula dimainkan di stesen radio di sini.

"Jadi saya perlu menyusun masa untuk berada di sini. Malah jika ada tawaran berlakon daripada produksi di sini, saya juga sedia menerima," ujarnya.

Jelas Bunga, tidak ada istilah lebih selesa berada di Indonesia atau Malaysia kerana sasaran utamanya adalah untuk mengembangkan kerjayanya sebaik mungkin.

"Rasanya bukan saya sahaja, tetapi mana-mana artis pun mahu melebarkan kerjayanya ke luar dan begitu juga saya," katanya.

Selesa bersama Reza

Dalam pada itu, menyentuh mengenai filem terbarunya, Bunga berkata, dia membawakan watak sebagai Diana, wanita yang harus mengikuti suaminya (Alex Abbad) berpindah dan bekerja di Malaysia.

Di sini, Diana terpaksa mencari pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka dan bekerja di sebuah pejabat yang memiliki pekerja daripada pelbagai negara.

Konflik berlaku apabila Diana terpaksa berhadapan dengan majikannya, Bossman yang juga berasal dari Indonesia (Reza Rahadian). Bossman memiliki tingkah laku yang pelik dan karakternya melucukan.

Bercerita lanjut mengenai filem terbarunya ini, Bunga berkata, My Stupid Boss merupakan filem komedi pertama lakonannya.

Bagaimanapun disebabkan karakter, dia tidak dibenarkan untuk membuat lawak dan hanya situasi serta dialog yang menjadikan ia komedi.

"Pada pendapat saya, makna komedi itu luas, bagi saya komedi itu sebegini, atau orang rasa lain, saya rasa lucu, tapi orang lain rasa tidak.

"Semasa proses pembacaan skrip, Upi (Pengarah) sudah ingatkan tidak ada lawak slapstik atau yang lain. Saya perlu jadi serius dan biar babak itu yang memainkan peranan," katanya.

Berkongsi gandingannya bersama Reza, Bunga berkata, dia berasa sangat bertuah diberi peluang sekali lagi untuk bergandingan dengan aktor terkenal itu.

"Di Indonesia, saya dan Reza terkenal sebagai gandingan dalam filem romantis dan apabila kami bergandingan di dalam filem ini, kebanyakan maklum balas yang kami terima, mereka tidak sabar melihat gandingan kami dalam filem komedi.

"Tetapi saya secara peribadi, rasa bangga kerana dapat bergandingan dengan seorang aktor hebat seperti Reza dan tidak sukar buat kami mendapat keserasian," katanya.
Powered by Blogger.