F Berbaik semula sejak 2 bulan lalu | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Berbaik semula sejak 2 bulan lalu

Awal tahun ini media pernah melaporkan hubungan dua sahabat baik, Zulin Aziz, 26, dan anggota kumpulan Forteen, Ariz Lufias semakin renggang


Perkara itu dikatakan berpunca apabila ramai peminat Ariz kurang menyenangi keakraban mereka.

Terbaru, hubungan Zulin dan Ariz dilihat pulih apabila bercuti ke Jepun bersama beberapa rakan lain.

Mengakui perkara itu, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd Aziz berkata, mereka berbaik semula dua bulan lalu.

“Semasa bergaduh, memang tidak ada sebarang komunikasi antara kami apatah lagi perasaan ingin berjumpa. Lagi pula apa yang berlaku selama ini bukan berpunca daripada kami, sebaliknya sikap orang luar. Sepanjang kami berkawan, saya tidak pernah ada sebarang masalah dengan Ariz.

“Memandangkan rakan kami adalah orang sama, mahu atau tidak mereka pasti bercakap perkara ini. Tidak dinafikan antara sebab kami boleh berbaik semula adalah kerana mereka,” katanya.

Zulin menjelaskan, sepanjang hampir empat bulan mereka tidak berhubung dia tidak pernah menyimpan dendam atau cuba membuang Ariz daripada hidupnya.

Sambung bekas pengacara Melodi ini, dia memahami apa yang berlaku antara mereka disebabkan keadaan dan bukannya atas kemahuan mereka sendiri.

Lantas, keputusan berbaik semula dengan memuat naik gambar percutian di Jepun dua minggu lalu disambut baik sebilangan besar peminat mereka berdua.

“Apa yang saya perasan, tidak ada lagi yang mengutuk apabila melihat video kami di Jepun. Sebaliknya ramai yang gembira dengan hubungan baik kami. Pada mulanya agak risau juga, namun kami mengambil keputusan tidak menghiraukan lagi kata-kata orang lain.

“Selama ini saya dan Ariz terlalu menjaga hati orang sehingga perlu mengorbankan persahabatan kami. Sekarang, apa yang kami cuba buat adalah menjadi diri sendiri.

“Lagipun, selama ini kami tidak melakukan perkara yang dilarang. Kalau perasan, setiap kali keluar bersama pasti ada rakan lain turut serta,” katanya.

Ariz lebih tenang

Ketika mereka berbaik, Zulin berkata jejaka berkulit cerah itu ada meluahkan apa yang terbuku di hati selama ini.

“Ariz memberitahu saya, kami kena ketepikan apa orang cakap selepas ini. Dia turut memahami keadaan saya yang dihentam teruk peminat. Sehingga ada yang menyalahkan saya apabila rapat dengan Ariz.

“Rupa-rupanya Ariz pernah cuba nak berbaik dengan saya, tetapi keadaan tidak mengizinkan ditambah lagi isu ini masih ‘panas’. Apa yang pasti, dia lebih tenang daripada saya.

“Mungkin disebabkan saya jadi mangsa maka lebih emosi. Malah, saya berfikir banyak kali jika mahu berkawan semula dengannya,” katanya.

Zulin berkata, perkara yang berlaku sebelum ini membuatkan dia dan Ariz lebih berhati-hati.

Dalam perkembangan lain, Zulin rancak menyiapkan rancangan travelog berkonsepkan parodi daripada drama dan filem Korea.

“Tujuan saya ke Jepun tempoh hari adalah bagi menjalani penggambaran travelog parodi. Program ini jauh berbeza dengan kebanyakan program travelog sedia ada.

“Saya berada di lokasi berkenaan bagi membuat parodi babak dalam drama atau filem Korea. Jadi, bagi episod di Jepun saya menjemput Ariz dan Ameli sebagai artis jemputan,” katanya.

Sambung Zulin, judul bagi program ini masih dalam perbincangan malah pengurusnya belum membuat pilihan untuk menjual program itu kepada mana-mana stesen televisyen.

Sebelum ke Jepun, Zulin menjalani penggambaran sama di Korea.

Selain itu, Zulin kini terbabit dalam penggambaran drama Nahu Rindu serta telefilem Cik Cinderella dan Encik Tengku Raya.
Powered by Blogger.