F Ayda Jebat tak kisah dibenci | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ayda Jebat tak kisah dibenci

Akur kehadirannya tidak disenangi semua pihak, Ayda Jebat bersyukur kerana single keduanya, Pencuri Hati membawanya lebih dekat dengan kelompok yang pernah membencinya. Pelakon berusia 24 tahun yang popular menerusi drama rantaian, Rindu Awak 200% bersama Zul Ariffin itu pernah menerima komen di laman sosial daripada peminat yang mengakui membenci personalitinya, namun menyukai lagu nyanyiannya. "Bagi saya, ia perkembangan yang baik. Tidak kisah jika ada yang membenci saya kerana apa yang lebih penting, lagu saya menarik perhatian mereka. Saya percaya selepas lagu ini mencuri hati mereka, perlahan-lahan peminat akan cuba mengenali dan mendekati diri saya yang sebenar," katanya. Finalis Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 ini menerima kenyataan tidak mampu memuaskan hati semua pihak. Ayda bagaimanapun, berharap setiap karya yang dihasilkan akan memperluaskan kelompok peminatnya kerana penerimaan mereka menjadi ukuran sebenar kejayaannya sebagai anak seni.

"Saya tidak menyangka, mereka yang selama ini membenci tiba-tiba mula meminati apabila Pencuri Hati menjadi lagu tema drama rantaian, Isteri vs Tunang lakonan Scha Alyahya dan Hisyam Hamid. Lebih membuatkan saya terharu, lagu ini juga menjadi pilihan ramai untuk aktiviti riadah. "Ramai yang menjadikan Pencuri Hati sebagai lagu pilihan ketika melakukan aktiviti mengeluarkan peluh seperti zumba, senamrobik dan di gimnasium. Susunan muzik lagu ini yang ceria membangkitkan mood dan semangat kepada pendengar setiap kali beriadah," katanya. Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Merlimau, Melaka itu sedang melunaskan baki penggambaran filem pertamanya, Pinjamkan Hatiku yang menampilkannya sebagai watak utama. Ayda yang sinonim dengan drama komedi romantik berkata, karakter dalam filem arahan Osman Ali itu menyerlahkan sisi berbeza dirinya sebagai pelakon. Bergandingan dengan Farid Kamil dan Shaheizy Sam, Ayda berkata, watak Laila Safitri memerlukannya banyak bermain dengan emosi.


Powered by Blogger.