F Awie nekad dapatkan hak jagaan anak | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Awie nekad dapatkan hak jagaan anak

Penyanyi, Awie, 48 nekad untuk berjuang habis-habisan di mahkamah bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas anaknya bersama Rozana Misbun, 38. Bersama wanita itu, Awie dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 8 dan Putri Qasseh Antasha, 6. Ketika ini, Rezzki dan Qasseh berada di bawah Rozana manakala Merrah pula dijaga Awie. Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman yang ditemui pada acara pelepasan Bikers Unite For Charity di ibu negara, hari ini, turut meluahkan rasa rindu terhadap anaknya yang sudah hampir dua tahun tidak ditemui. "Sebagai bapa yang membesarkan anak-anak sejak dilahirkan, sudah tentu saya sedih apabila mereka tiada di sisi, lebih-lebih lagi menjelang Ramadan dan Aidilfitri. "Saya hanya berhubung dengan mereka melalui telefon. Apabila saya mendengar suara Qasseh yang bercakap dengan saya sambil menangis, saya bagai dapat rasakan sesuatu yang dilalui mereka. "Sudah tentu saya amat sedih dan merindui mereka sepenuh hati. Sejak kami tidak lagi bertemu, saya bagaikan budak kecil apabila kerap menangis teringatkan mereka," katanya sambil menahan air mata. Sementara itu, mengulas kes mahkamah yang menyaksikan dirinya diarahkan membayar denda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas dakwaan mencederakan bekas isterinya dengan sengaja, dua tahun lalu, Awie berkata ia bukanlah kes berat. "Untuk apa saya hendak melawan, sedangkan buktinya ada dalam rakaman CCTV? Apa pun saya lega apabila kes ini sudah selesai dan fokus saya sekarang adalah untuk berjuang habis-habisan mendapatkan hak penjagaan anak saya," katanya. Selain tiga anak bersama Rozana, Awie juga mempunyai dua lagi cahaya mata hasil perkahwinannya dengan bekas isteri yang juga penyanyi, Arni Nazira Anuar. Bernikah pada 10 Disember 1998, mereka dikurniakan Putri Aleeya Antasha,16, dan Putri Aleefa Antasha, 14, yang kini dijaga Awie.


Powered by Blogger.