F Alvin Tan muat naik gambar hanya untuk jenaka | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Alvin Tan muat naik gambar hanya untuk jenaka

Vivian Lee, bekas teman wanita blogger Alvin Tan, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bahawa lelaki itu memuat naik gambar berserta kapsyen yang mempersenda umat Islam hanya untuk berjenaka dan melihat reaksi masyarakat.

Vivian Lee atau Lee May Ling, 27, berkata, Alvin memberitahunya sedemikian selepas dia (Alvin) menyunting gambar berserta kapsyen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising ('Selamat Berbuka Puasa (dengan) Bak Kut Teh, Wangi, Enak dan Menyelerakan').

Vivian berkata, Alvin kemudian memuat naik gambar berserta kapsyen itu ke laman Facebook miliknya tanpa mendapat kebenaran daripadanya terlebih dahulu walaupun Vivian merupakan seorang daripada pentadbir bagi akaun Facebook berkenaan.

Dia berkata, pada mulanya Alvin enggan memadam atau menukar kapsyen itu tetapi selepas menerima kecaman dan penghinaan pelbagai kaum dan masyarakat, Alvin menulis kapsyen baharu iaitu 'Ampunkanlah kami' 'Selamat berbuka puasa dengan rendang ayam'.

"Kapsyen baharu itu digantikan selepas melihat sentimen negatif daripada masyarakat yang boleh menimbulkan kemarahan. Kapsyen itu diharap dapat memperbetulkan dan menjadikan keadaan lebih baik," kataya.  

Ketika pemeriksaan utama oleh peguamnya Chong Joo Tian semasa membela diri di hadapan Hakim Abdul Rashid Daud, Vivian berkata, dia dan Alvin bergaduh berikutan tindakannya memuat naik gambar berkenaan.

Wanita itu berkata, Alvin turut menolaknya ketika cuba mengambil komputer riba milik Alvin.

"Kami bergaduh. Saya rasa sedih, tidak gembira dan marah dengan tindakan Alvin. Saya suruh dia padam kesemuanya namun Alvin enggan dan memberitahu itu hanya untuk jenaka dan mahu melihat reaksi masyarakat," katanya.

Menurutnya gambar itu diambil secara 'selfie' di sebuah kedai makan di Jalan Ipoh pada 10 Julai 2013.  

Vivian, saksi tunggal pembelaan, berkata demikian dalam perbicaraan kesnya dan Alvin Tan atau Tan Jye Yee yang didakwa menyiarkan gambar mereka sedang menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh...fragrant, delicious and appetising)' dan mengandungi logo halal di laman Facebook mereka.  

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu pada 9 pagi, 12 Julai 2013 mengikut Subseksyen 4(1)(c) Akta Hasutan yang membawa hukuman denda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 14 April lepas, Hakim Abdul Rashid memerintah Vivian membela diri terhadap pertuduhan itu.

Pada perbicaraan kes itu yang bermula pada 23 November lepas, hanya Lee yang hadir manakala Alvin telah melarikan diri ke luar negara.

Ketika pemeriksaan semula Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Vivian menafikan dia bersama-sama Tan memuat naik gambar itu.

Vivian juga tidak bersetuju dengan cadangan Wan Shaharuddin bahawa dia boleh memuat naik gambar itu kerana dia tidak memiliki akaun facebook, komputer dan telefon bimbit pintar bagi membolehkan gambar itu dimuat naik.

Mahkamah menetapkan esok untuk hujahan kedua-dua pihak selepas pihak pembelaan menutup kesnya hari ini.
Powered by Blogger.