F Agih pinjaman RM30j | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Agih pinjaman RM30j

Pemberian pinjaman kewangan RM30 juta kepada 19 syarikat kreatif bukan hanya untuk memberi peluang kepada syarikat terpilih mengembangkan perniagaan mereka, tetapi ia lebih kepada cerita anak muda yang berjaya dalam industri kreatif tempatan.


Tahun lalu menyaksikan filem Lelaki Harapan Dunia arahan Liew Seng Tat bukan saja diiktiraf Anugerah Skrin 2015, malah ia memenangi Anugerah Juri Pro-Fil pada Festival Filem Perancis. Filem itu juga ditayangkan di Raleigh Studios, Hollywood, Asian World Film Festival, Los Angeles, Festival Film Kaohsing, Taiwan. Tahun ini pula filem itu dipertandingkan bagi Kategori Filem Bahasa Asing Terbaik, Academy Award ke-88.

Awal tahun ini pula, selepas kejayaan filem The Journey, sekali lagi filem arahan Chiu Keng Guan, Ola Bola tersenarai Top 5 kutipan filem tertinggi di negara ini. Filem Munafik pula mendapat kutipan RM19 juta, sekali gus merangkul filem kutipan tertinggi yang pernah dicatatkan.

Itu sebahagian kejayaan yang dicatatkan penggiat seni tanah air yang membanggakan rakyat Malaysia. Lantaran itu, sokongan berterusan akan diberikan mereka yang berkecimpung dalam industri agar terus mencatat kejayan luar biasa.

Rabu lalu, bertempat di Dewan Utama, Kementerian Kewangan Malaysia, MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menerusi Ketua Setiausaha Perbendaharaan kementerian itu, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah menyampaikan pinjaman kewangan itu kepada syarikat terbabit.

Antara syarikat yang menerima pinjaman kewangan itu, Kualiti Books, Music Republic, Lakefront Records Sdn Bhd, Integra Creative Media Sdn Bhd, Aksara Aira Media Sdn Bhd, Thukul Cetak Sdn Bhd, Weneergrow Sdn Bhd, Pixelline Production Sdn Bhd, Superdough Sdn Bhd, Joschida Pristine Sdn Bhd, Nurita Harith, Joe Chia Atelier Sdn Bhd, EA Inspiration Sdn Bhd, Karamia Sdn Bhd dan Handmade Playground Sdn Bhd.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Johan Ishak, pinjaman kewangan yang diluluskan itu sejajar objektif penubuhan MyCreative menyokong pelaksanaan dasar industri kreatif negara dan merangsang pertumbuhan industri kreatif menerusi skim kewangan strategik dan inovatif dalam bentuk ekuiti, pinjaman atau gabungan kedua-duanya.

“Bagaimanapun, perniagaan itu perlulah berupa kesusasteraan, kandungan kreatif, fesyen dan rekaan ataupun seni tradisional dan kebudayaan. Selain tujuh cabang sedia ada itu, tiga lagi cabang tambahan yang layak menerima pinjaman ialah pendidikan kreatif, teknologi kreatif dan seni kulinari.

“Sejak dilancarkan pada 2012, MyCreative menerima lebih 400 permohonan daripada kelompok kreatif di mana pemohon yang berminat dikehendaki membentangkan idea perniagaan mereka kepada jawatankuasa yang ditetapkan,” katanya.
Powered by Blogger.