F Aeril Zafril Berdakwah Melalui Laman Sosial | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Aeril Zafril Berdakwah Melalui Laman Sosial

Pelakon Aeril Zafril mengambil pendekatan tersendiri menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk melakukan dakwah ringan dengan berkongsi kata-kata berunsur keagamaan.

Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Suhairi, 28, berkata, niatnya bukan untuk berlagak baik tetapi kata-kata yang dikongsikan itu sebagai peringatan untuk diri sendiri dan peminat-peminat yang menyokong kerjaya seninya.

“Dakwah ni ada pelbagai cara dan saya rasa pendekatan menggunakan laman sosial inilah cara berkesan untuk dilakukan semua orang bukan sahaja saya, anda juga di luar sana. Sama-samalah kita saling ingat mengingati,” katanya kepada mStar Online.

Aeril berkata demikian ketika ditemui pada majlis memperkenalkan juadah berbuka puasa di Intekma Resort Shah Alam, di sini.

Dalam pada itu kata suami kepada pelakon Wawa  Zainal ini lagi, langkahnya itu  sering kali diselang-selikan dengan memuatnaik foto bersama keluarga terutama aksi anak-anaknya yang semakin membesar.

Malah perkara itu juga disifatkannya sebagai seimbang agar tidak ada pihak melabelkan dia sebagai 'menunjuk-nunjuk' melakukan perkara baik.

“Kalau anda antara yang mengikuti perkembangan saya di laman sosial, anda pasti perasan tentang perkara ini dan saya tidak berniat untuk mengulas panjang bimbang nanti dikatakan riak. Cukuplah saya katakan saya selesa dengan perkongsian sebegitu,” katanya.

Sementara itu Aeril yang kini masih dalam proses mendalami bidang keagamaan mengakui, selain berkongsi madah-madah yang diambil daripada petikan para ilmuan dan ulamak, dia turut menulis sendiri kata-kata itu dalam usaha berkongsi rasa dan mengasah bakatnya dalam seni penulisan.

“Nak kata pandai tu tidak, tapi saya cuba selagi merasakan apa yang dititip itu mampu memberi peringatan dan manafaat pada diri dan sesiapa yang membacanya,” ujarnya ringkas.

Dalam perkembangan  kerjaya seninya, kata Ariel dia akan memberhentikan segala kegiatan seni di bulan Ramadan dan mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan perniagaannya bersama isteri iaitu Wawa Soflens dan Wa.clothing.

Di sisi lain, Aeril turut menjelaskan penyertaannya dalam bidang seni bertujuan untuk berkongsi bakat dan tidak pernah kisah soal diiktiraf di pentas penganugerahan.
Powered by Blogger.