F Ada Apa Dengan Cinta 2 saksi kesudahan Cinta dan Rangga | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ada Apa Dengan Cinta 2 saksi kesudahan Cinta dan Rangga

14 tahun lalu, penulis antara peminat filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) yang turut sama terusik dengan kisah Cinta dan Rangga.

Kisah yang akhirnya memperlihatkan Rangga terpaksa membawa diri ke New York untuk menyambung pengajian telah meninggalkan buku yang terkandung puisi tulisannya, 'Ada Apa Dengan Cinta'.

Puisi yang tertulis, 'tapi aku pasti kembali dalam satu purnama, untuk mempertanyakan kembali cintanya', membuatkan ramai yang tertunggu-tunggu kesinambungan filem ini.

Dan penantian itu sudah berakhir dengan tayangan serentak sekuel AADC iaitu Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2), yang bermula sejak 28 April lalu di Indonesia, Malaysia dan Brunei.

AADC2 menampilkan Mira Lesmana dan Prima Rusdi sebagai penulis lakon layar dan Riri Riza sebagai pengarah. Riri merupakan pengarah Indonesia tersohor yang sebelum ini menjadi teraju utama salah sebuah filem terlaris sepanjang zaman di Indonesia, Laskar Pelangi.

Selain Nicholas dan Dian, AADC2 turut dibintangi Titi Kamal (Maura), Adinia Wirasti (Carmen), Sissy Priscilia (Milly), dan Dennis Adhiswara (Memet) dan.

Ia membawa penonton kepada kisah persahabatan Cinta bersama rakan-rakannya, Milly, Maura dan Karmen selepas 14 tahun. Manakala Alya pula diceritakan sudah meninggal dunia.

Cinta masih seperti dahulu yang masih mencintai bidang seni dan membuka galeri sendiri dan sudah bertunang dengan Trian (Ario Bayu). Sementara di bandaraya New York, Rangga masih sendirian; berpuisi, fotografi, bekerja di sebuah kafe dan dalam masa sama mula merindui Cinta.

Kerana satu sebab, Rangga akhirnya bersetuju kembali ke Indonesia, atau lebih tepat lagi ke Yogyakarta dan dalam masa sama, Cinta bersama rakan-rakannya tiba sehari awal di sana untuk bercuti.

Takdir akhirnya menemukan Cinta dan Rangga dan selepas itulah, bermula kembali kisah mereka.

Sejujurnya, penulis meletakkan harapan yang tinggi ketika mula mendapat tahu akan menyaksikan tayangan perdana filem ini.

Bagaimanapun sebaik menonton filem ini, mood penulis tidak sama seperti kali pertama menonton AADC 14 tahun lalu.

Biarpun Cinta dan Rangga serta rakan-rakan yang lain sudah semakin matang, seiring usia dan status mereka, namun perjalanan cerita ini tidak sematang usia mereka.

Barangkali kerana Riri memilih menceritakan perkembangan ke semua pelakon pada awal cerita, maka kisah Cinta dan Rangga selepas itu seolah dimudahkan segalanya.

Sejujurnya pada pandangan penulis, selepas satu tempoh yang lama selepas perpisahan (tanpa sebab dan lebih satu purnama), agak sukar untuk seseorang wanita memaafkan lelaki itu dalam masa yang singkat.

Namun, mungkin Mira Lesmana dan Prima Rusdi mempunyai sebab untuk menceritakan 'kemarahan' Cinta dari sudut yang berlainan.

Tiada kejutan atau momen yang benar-benar indah, bahkan pada satu babak yang boleh dianggap penting buat penulis, ia dirosakkan dengan muzik latar yang kurang bersesuaian.



Milly menghiburkan

Bagaimanapun dari segi perkembangan watak dan lakonan semua pelakon, penulis amat memuji lakonan mereka yang bersahaja.

Bahkan mereka masih mampu mengekalkan keserasian biarpun sudah lama tidak bergandingan bersama dalam sebuah filem.

Paling menyerlah adalah Sissy Priscilia selaku Milly yang penulis sifatkan sebagai penghibur utama filem berkenaan.

Ada sahaja keletah dan dialognya yang mencuit hati penonton dan mengundang deraian ketawa.

Namun ingin penulis ingatkan, ulasan ini hanyalah pandangan penulis dan bagi peminat setia AADC anda harus menonton filem ini di pawagam dan menilai sendiri sekuel filem ini.
Powered by Blogger.