F ABPBH 29 catat 5.5 juta penonton | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

ABPBH 29 catat 5.5 juta penonton

Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-29 (ABPBH 29) meraih jumlah penonton tertinggi 5.5 juta orang (14.1 TVR) ketika ia disiarkan secara langsung menerusi TV3, Ahad lalu. Menurut kenyataan rangkaian televisyen milik Media Prima Berhad itu, yang memetik sumber Nielsen Audience Measurement, secara purata 3 juta orang atau 49.6 peratus syer penonton dicatatkan sewaktu tayangannya yang bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam. Acara Karpet Merah acara anugerah hiburan paling lama bertahan itu yang disiarkan secara langsung di TV9 dari jam 8.30 malam hingga 9.00 malam pula meraih jumlah penonton tertinggi (peak) sebanyak 1.5 juta (2.8 TVR) dengan purata 600,000 penonton atau 9.8% syer penonton. Selain menonton secara langsung di TV3, keseluruhan acara yang bermula dengan Karpet Merah juga disiarkan secara global menerusi penstriman 'live' melalui komputer, tablet dan telefon pintar di laman web rasmi ABPBH 29 (www.abpbh.com.my). Rekod menunjukkan lebih 35,988 menonton ABPBH 29 secara online menerusi laman web rasmi, manakala tontonan secara dalam talian di saluran HD pula mencatat sejumlah 20,376 penonton dari seluruh dunia. ABPBH 29 turut mendapat sambutan hangat dengan lebih 1.5 juta orang melayari laman web rasmi ABPBH 29. Bagi acara permaidani merah pula, seramai 4,309 orang menontonnya secara dalam talian. Di laman sosial Twitter, #abpbh29 mendapat sambutan sangat menggalakkan sehingga berjaya menduduki tempat pertama di Malaysia dan 'global' dengan mencecah sehingga 500,000 tweet. Bagi peminat yang ketinggalan menonton acara Karpet Merah dan ABPBH 29, mereka masih boleh berbuat demikian menerusi www.tonton.com.my. Anugerah berprestij terbabit yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) menyaksikan Neelofa diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, selain memenangi kategori Pengacara TV Popular buat kali ketiga. ABPBH 29 menggandingkan empat figura popular iaitu penyampai Kool FM, AG dan Haiza; pelakon muda, Mira Filzah; dan pelawak terkemuka, Zizan Razak bagi mengemudikan majlis penganugerahan, manakala Karpet Merah di POP TV pula diacarakan oleh Hefny Sahat serta Nana Mahazan. Kru penerbitan ABPBH 29 diketuai oleh Pengurus Hiburan Primeworks Studios, Muhamad Sufian Isa dengan Khalijah Mohamed selaku Penerbit Eksekutif dan Hamsiah Biri sebagai Penerbit.


Powered by Blogger.