F Tunku Mona harap Redha diberi peluang | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tunku Mona harap Redha diberi peluang

TAMPIL dengan karya yang menarik dan cukup kajian, bukan jaminan untuk sesebuah filem mendapat tempat di hati penonton.

Dan begitulah nasib yang menimpa filem pertama arahan Tunku Mona Riza Tengku Khalid, 49, iaitu Redha.

Filem yang mengisahkan mengenai anak autistik ini melalui pembikinan dengan kos RM3.5 juta, Redha memaparkan tentang hidup pasangan suami isteri, Alina dan Razlan menjadi terumbang-ambing dalam menghadapi realiti perjuangan sebenar untuk membesarkan seorang anak istimewa selepas mendapati bahawa anak mereka Danial menghidap autisme.

Sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 14 April lalu, filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Namron, June Lojong, Harith Haziq, Izzy Reef, Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Ruminah Sidek dan Susan Lankester.

Namun menerusi kemas kini dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), setakat empat hari tayangan, filem tersebut hanya mengutip RM150,000.

Mengakui kecewa dengan sambutan dingin penonton terhadap Redha, Tunku Mona berkata, dia berharap masih ada harapan buat filem tersebut.

"Ada yang berkata kepada saya, mungkin disebabkan filem tersebut ditayangkan pada pertengahan bulan, jadi orang berkira dan berjimat untuk mengeluarkan duit. Saya pun tak pasti adakah itu menjadi faktor.

"Apa yang saya bimbangkan, penonton tak bersedia dan tak nak ambil tahu mengenai autisme. Mungkin mereka merasakan filem ini berat buat mereka.

"Tapi hakikatnya, Redha adalah sebuah filem liberal, yang ringan, drama mengenai kisah kekeluargaan, persahabatan dan kasih sayang.

"Dari segi niat saya untuk menjadi suara kepada mereka yang sudah ada anak autisme sudah tercapai, tapi niat saya untuk menarik perhatian penonton ke pawagam, nampaknya belum berjaya," katanya kepada Zass.

Tambah Tunku Mona, kekecewaannya sedikit terubat apabila dia mendapat pujian daripada mereka dalam bidang perubatan seperti doktor yang turut menyifatkan Redha adalah sebuah rujukan mudah buat sesiapa sahaja memahami apa itu autistik/autisme.

"Saya bersyukur apabila filem ini bukan sahaja mendapat perhatian oleh mereka yang mempunyai anak autistik, tetapi juga golongan profesional yang menganggap filem ini sebagai satu rujukan.

"Jadi apa salahnya, buat mereka yang belum menonton, bukakan sedikit hati dan berilah ruang buat filem ini. Tonton, fahami dan anda buatlah kesimpulan sendiri," akhirinya.
Powered by Blogger.