F Tengku Irfan, MPO kembali bekerjasama | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Tengku Irfan, MPO kembali bekerjasama

 Kerjasama antara pemain piano remaja berbakat luar biasa, Tengku Irfan dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) sejak 2009 diteruskan apabila pemuzik berusia 17 tahun itu akan kembali di dewan berprestij, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 30 April dan 1 Mei ini.

Ia kerjasama kelapan selepas kali terakhir beraksi di dewan terbabit pada tahun 2015, selain pernah membuat persembahan bersama di Ho Chi Minh dan Hanoi pada tahun 2013.

Tengku Irfan yang juga penuntut di Juilliard Pre-College dalam pengkhususan Piano dan Komposisi akan mempersembahkan karya ciptaan Rachmaninoff yang dihasilkan pada tahun 1909.

Diperkenalkan buat kali pertama di New York, Amerika Syarikat, persembahan Piano Concerto No 3 in D Minor itu diakui sebagai antara karya paling romantik, selain paling panjang dan kompleks yang pernah dihasilkan Rachmaninoff.

Karya itu akan dipersembahkan Tengku Irfan pada persembahan yang bermula jam 8.30 malam pada 30 April, disusuli jam 3 petang pada 1 Mei ini.

Pemuzik muda itu akan sekali lagi beraksi secara solo pada 3 Mei ini, jam 8.30 malam mempersembahkan -karya seperti Piano Sonata No 2 in F sharp ciptaan Brahms dan Piano Sonata No 32 in C minor karya Beethoven.

Menariknya pada persembahan itu, Tengku Irfan akan memperkenalkan lagu ciptaannya iaitu Meditation untuk dihayati khalayak.

Selepas beraksi di DFP pada tahun 2009, namanya mengharum apabila diberi penghormatan beraksi di pentas antarabangsa seperti menjuarai pertandingan Aspen Prokofiev Piano Concerto No.2 (2013), ASCAP Charlotte Bergen dan ASCAP Morton Gould Young Composer Award (2012).

Bakat besarnya juga menarik perhatian orkestra antarabangsa apabila bekerjasama dengan Singapore Symphony, Sao Paulo State Youth Orchestra, Juilliard Orchestra, Estonian National Symphony dan Aspen Contemporary Ensemble.

Tokoh dunia muzik klasikal yang pernah bekerjasama dengannya termasuk Neeme Järvi, Nikolai Alexeev, Evan Rogister, Claudio Cruz dan Darrell Ang.

Akhbar The New York Times pernah memuji persembahannya kerana kagum dengan kehebatan bakatnya yang disifatkan luar biasa.

Karyanya iaitu Sahibul Hikayat Fantasy Overture pernah dipersembahkan MPO, manakala garapannya dalam Keraian pernah dimainkan buat pertama kali oleh New York Philharmonic. Sementara itu, sebuah lagi karyanya iaitu Tragedi Dewi Suria menjadi pilihan New York Virtuoso Singers.

Tengku Irfan juga diberi penghormatan untuk memimpin MusicNova Orchestra buat kali pertama kali menerusi karya Nocturne pada tahun 2015
Powered by Blogger.