F Selepas Hilangnya Kasih Shuhaimi Lua pertaruh Rajuk | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Selepas Hilangnya Kasih Shuhaimi Lua pertaruh Rajuk

SELEPAS berjaya menarik perhatian ramai menerusi telefilem Hilangnya Kasih yang disiarkan di slot Skrin Di 9, 22 Februari lalu, pengarah dan penerbit berkaliber, Shuhaimi Lua kembali mempertaruhkan sebuah lagi telefilem, Rajuk.

Bagaimanapun berbeza dengan Hilangnya Kasih yang tampil dengan genre berat, Rajuk pula merupakan sebuah karya bergenre komedi yang diterbitkan menerusi Tanah Beris Film Production Sdn Bhd.

Telefilem ini juga akan disiarkan menerusi slot Skrin Di 9 pada 2 Mei ini, bermula jam 8.30 malam.

Rajuk dibarisi pelakon hebat seperti Shamsul Ghau Ghau, Rosnah Mat Aris, Niezam Zaidi, Azad Jasmin, Mawar Rashid, Baharin Kadir, Shaafeeka Farhana dan Eqbal Eisid.

Menurut Shuhaimi, biarpun judulnya tampak berat, namun telefilem ini lebih menjurus ke arah kekeluargaan dan berbentuk komedi.

“Telefilem ini adalah hasil tulisan skrip Shahremy Ikmal dan olahan oleh Zyza Backy.

“Ia mengisahkan seorang ayah yang berubah sikap, iaitu kuat merajuk selepas kematian isterinya dan anak-anaknya berusaha untuk memujuk ayah mereka dengan pelbagai cara,” katanya kepada Zass.

Menjalani penggambaran di sekitar Pekan, Pahang dari 7 hingga 13 Mac lalu, Shuhaimi berkata, dia turut menyelitkan kesan khas di dalam telefilem ini.

“Saya mahu menampilkan kelainan di dalam telefilem ini dan tidak mahu nampak sama seperti telefilem lain. Oleh sebab itu, saya selitkan kesan khas menerusi beberapa babak.

“Bagaimanapun tidaklah secara keterlaluan dan hanya pada babak-babak yang bersesuaian untuk menambah mood ketika menonton," katanya yang sebelum ini pernah mengarahkan drama hebat seperti Maaf Jika Aku Tak Sempurna, Rebah Taubat, Perempuan Tanpa Rahim, Beruk Tok Ayah, Ramadhan Jangan Tinggal Kami dan Nasuha.

Puji pelakon

Bercerita lanjut mengenai pembikinan telefilem ini, Shuhaimi berkata, dia tidak mengalami masalah atau cabaran kerana segalanya diaturkan lebih awal.

“Saya mengamalkan sikap bekerja lebih awal menerusi praproduksi di mana saya akan tinjau kawasan, bincang dengan penaja dan juga pelakon sebelum menjalani penggambaran.

“Malah pelakon juga memberi komitmen yang cukup baik sepanjang penggambaran telefilem ini, walaupun ada lama dan baharu, tetapi mereka tidak ada masalah bekerjasama. Begitu juga dengan Shamsul, biarpun sudah berhijrah kini, tapi dia sporting untuk menjayakan babak seperti menari,” katanya.

Rajuk mengisahkan Pak Tam (Shamsul) kematian isterinya, setahun yang lalu. Sejak kematian isterinya itu, Pak Tam mula berubah sikap. Keadaan itu merisaukan kedua-dua anaknya iaitu Hisyam (Azad) dan Azmir (Niezam), tambahan pula majlis kenduri kahwin Hisyam akan dilangsungkan tidak lama lagi.

Pak Tam cuba gembirakan hatinya dan tidak mahu menyusahkan kedua-dua anaknya itu dan berjanji untuk menguruskan majlis kenduri kahwin yang mereka rancangkan  dengan jayanya.

Bagaimanapun, rajuk Pak Tam kembali apabila pakaian istimewa yang dijahitkan oleh arwah isterinya hilang menyebabkan dia tidak pedulikan lagi majlis kenduri yang akan diadakan nanti.

Hisyam dan Azmir beranggapan Pak Tam berkeadaan begitu disebabkan tekanan akibat kematian emak mereka dan dua beradik itu mula merancang menjodohkan ayah mereka dengan Mak Ros (Rosnah).

Apakah yang akan terjadi seterusnya? Adakah Pak Tam dan Mak Ros bersetuju?  Ke mana baju Pak Tam menghilang?

Semua jawapan itu akan terjawab di dalam Rajuk.
Powered by Blogger.