F Redha beri inspirasi kepada masyarakat | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Redha beri inspirasi kepada masyarakat

Meskipun gagal mengaut kutipan yang diharapkan, penerbit filem Redha, Ku Mohamd Haris berbangga kerana produksi itu memberi inspirasi kepada masyarakat, terutama dalam memahami cabaran dilalui keluarga yang mempunyai anak autisme. Tidak kecewa apabila filem sulung terbitan Current Pictures Sdn Bhd itu menerima sambutan dingin penonton, Ku Haris sebaliknya bersyukur kerana niat bersama isterinya, Tunku Mona Riza yang juga pengarah Redha untuk menyuntik kesedaran dan mendidik masyarakat tercapai. "Biarpun tidak mendapat untung, namun komen positif dan pujian ikhlas penonton sudah cukup membuat kami berpuas hati. Niat asal kami menghasilkan Redha adalah untuk menyuntik kesedaran dan mendidik penonton dalam memahami dilema dilalui penghidap autisme. "Filem ini dihasilkan daripada hati dan kami sanggup meluangkan masa selama dua tahun dengan mendekati keluarga yang mempunyai anak autisme. Kami merasai kesukaran yang mereka hadapi dan ia memberi kami inspirasi untuk menghasilkan Redha yang ditayangkan sempena bulan autisme. "Kami akur, penerimaan penonton terhadap filem seperti ini memerlukan masa tetapi tidak perlu kecewa kerana percaya kepada rezeki yang ditentukan Allah," katanya.

Mengakui malu untuk berkongsi jumlah kutipan filem yang mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan itu, Ku Haris berkata, sambutan dingin terhadap Redha yang menerima sokongan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) tidak melemahkan semangatnya dan isteri untuk terus berkarya. "Setiap pengarah dan penerbit mempunyai cara tersendiri dalam berkarya. Mereka bebas memilih sama ada untuk mengaut keuntungan atau menyalurkan mesej kepada khalayak. Berdasarkan pengalaman menghasilkan supertelefilem, Parit Jawa sebelum ini, kami cenderung kepada penerbitan yang memberi inspirasi kepada penonton. "Ini pengalaman pertama kami menerbitkan filem, pasti ada kelemahan yang memerlukan penambahbaikan sebelum menghasilkan karya terbaharu. Insya-Allah, semangat itu masih ada kerana kami dalam usaha untuk menghasilkan sebuah lagi filem," katanya. Ku Haris ditemui pada majlis tayangan amal filem itu yang dianjurkan Persatuan Bekas Pelajar St John's Institution (SJI80s) di TGV KLCC, tengah hari tadi. Hampir 300 tetamu hadir memberikan sokongan terhadap filem lakonan Namron, June Lojong, Remy Ishak dan Nadiya Nisaa itu. Tayangan amal itu juga bertujuan mengutip dana untuk disumbangkan kepada tabung anak-anak istimewa Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Selatan dan Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tasik.


Powered by Blogger.