F Penangan Gadis Bond, Jane Seymour kecap populariti | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Penangan Gadis Bond, Jane Seymour kecap populariti

SERING kali, wanita jelita dan seksi terus dijadikan antara tarikan utama dalam filem perisik terhebat di layar perak, James Bond. Digelar sebagai Gadis Bond (Bond Girl), watak ini dilihat sangat terkesan sekali gus menjadi ‘penyedap rasa’ dalam setiap perjalanan cerita.

Bertuah melalui pengalaman itu ialah aktres veteran, Jane Seymour yang pernah muncul dalam filem Live and Let Die di samping aktor kacak, Roger Moore pada 1973.

Menariknya, Seymour yang popular dengan watak Solitaire, menjadi Gadis Bond paling muda kerana baharu sahaja berusia 20 tahun ketika membintangi filem tersebut.

Memegang watak yang lemah lembut dan naif, anak kelahiran London, England ini mengakui karakter itu telah dilihat memberikan gambaran berbeza terhadap Gadis Bond, ketika itu.

"Watak Solitaire dilihat sebagai seorang gadis perawan.

"Saya berpendapat itu adalah sesuatu yang agak jarang ditonjolkan dalam filem James Bond," katanya.

Pun begitu, pemilik nama sebenar, Joyce Penelope Wilhelmina Frankenberg ini berasa sangat bertuah kerana dapat menjadi sebahagian daripada sejarah francais filem itu.

"Saya dapat bertemu dan berbincang dengan aktres lain yang pernah memegang watak tersebut," katanya.

Bukan itu sahaja, popularitinya juga semakin meningkat dan namanya mula dikenali menerusi pelbagai filem seperti Frankenstein: The True Story (1973), The Four Feathers (1977), Sinbad and The Eye Of The Tiger (1977), Killer on Board (1977), Somewhere In Time (1980), Lassiter (1984), Head Office (1985), Onassis: The Richest Man In the World (1988), California (1997), The New Swiss Family Robinson (1998), Touching Wild Horses (2002), Wedding Crashers (2005), Blind Dating (2006), The Assistants(2009), Wake (2009), Love, Wedding, Marriage (2011) dan A Royal Christmas (2014).

Bagaimanapun, nama Seymour lebih terkenal menerusi pelbagai drama bersiri yang dibintanginya seperti East of Eden (1981), War And Remembrance (1988-1989), Dr. Quinn Medicine Woman (1993-1998), Dharma & Greg (1998), Law & Order: Special Victims Unit (2004), Smallville (2004-2005), Modern Men (2006), How I Met Your Mother (2006), Justice (2007), In Case of Emergency (2011), Castle (2012), Franklin & Bash (2012-2013), Men at Work (2014), Forever (2014) dan Jane the Virgin (2015).

Sepanjang karier seninya berlangsung, Seymour sudah memenangi pelbagai anugerah seperti Saturn Award (1981), Golden Globe Award (1982, 1996), Emmy Award (1988), Officer of the Order of the British Empire (2000) dan Ellis Island Medal of Honor (2010).

Kekal awet muda

Kini, menginjak ke usia 65 tahun, Seymour  tetap memiliki tubuh yang menggiurkan dan menggoda.

Bahkan, bekas isteri pengarah, James Keach ini bersedia untuk beraksi dengan hanya memakai pakaian renang.

"Saya sedar saya sudah semakin tua. Namun, saya percaya, saya masih lagi seksi dan menawan," katanya.

Lebih terharu, kata Seymour, pakaian renang itu merupakan hadiah istimewa daripada pereka terkenal, Cheri Ingle.

"Saya ingatkan dia hanya bergurau (ketawa). Kali terakhir saya mengenakan pakaian renang ketila saya berusia 20 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Seymour mengakui kegemarannya dalam sukan olahraga menyumbang kepada faktor awet mudanya.

Pada masa sama, ibu kepada empat anak ini turut mempunyai kebun organiknya sendiri. Malah, Seymour mempercayai akan kebaikan produk organik ini.

"Saya rasa ia selamat dan sedap di makan. Lagipun, ia tiada racun perosak. Saya rasa keajaibannya adalah apabila kita melihat ia membesar, memetiknya dari tanah, membasuhnya dan memakannya," katanya kepada Energy Time.

Jadi jurulatih penari

Dalam perkembangan lain, Seymour kembali semula ke layar perak menerusi filem terbarunya, High Strung.

Bekas isteri Michael Attenborough ini sememangnya mempunyai asas dalam bidang tarian mengakui cukup teruja dapat berlakon dalam filem arahan Michael Damian ini.

"Saya adalah seorang penari balet, satu ketika dulu. Situasi itu menyebabkan saya kerap dikelilingi mereka yang menghidap aneroksia. Ia sangat menakutkan. Namun, oleh kerana saya seorang pelakon jadi, badan saya tidak perlu terlalu kurus seperti penari.

"Cuma, saya sering terlupa untuk makan apabila saya terlalu sibuk dengan kerja," katanya.

Kembali menjadi jurulatih penari, kata Seymour, karakternya itu banyak dipengaruhi oleh guru baletnya suatu ketika dahulu.

"Saya ada beberapa guru yang sangat tegas. Saya mula menari ketika usia mencecah enam tahun. Mereka akan bekerja keras untuk memastikan saya membuat dengan betul.

"Memang awalnya saya benci mereka tetapi akhirnya saya menyayangi mereka kerana membuatkan saya berjaya," katanya.

Selain Seymour, filem bergenre muzikal ini turut dibintangi Ian Eastwood, Sonoya Mizuno, David Lipper dan Keenan Kampa.

High Strung mengisahkan seorang pemain biola hip hop tertarik dengan seorang penari klasik ketika sedang `busking` di New York Subway.

Dia mendapati penari itu merupakan pelajar Manhattan Conservatory of Arts. Dengan bantuan kumpulan penari hip hop, mereka perlu bekerjasama untuk memenangi sebuah pertandingan seterusnya mengubah hidup mereka buat selamanya.

Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam pada 12 Mei ini.
Powered by Blogger.