F Naz syukur tumor dalam perut hampir pulih | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Naz syukur tumor dalam perut hampir pulih

Pengacara, Naz, sedang melalui proses pemulihan akibat penyakit ketumbuhan atau tumor dalam perut. Naz atau nama sebenarnya Nazruddin Habibur Rahman, 38, berkata doktor mengenal pasti penyakit terbabit pada 2014 dan beliau sudah pun menjalani pembedahan pada April tahun lalu. "Alhamdulillah, saya sudah pulih sebanyak 80 peratus. Sebenarnya, saya tidak sedar ketumbuhan sebesar bola tenis itu sudah dua tahun berada dalam perut saya sebelum doktor mengesahkannya. Apatah lagi, tiada tanda pelik kelihatan selain cirit-birit pada masa-masa tertentu saja. "Hanya selepas membuat pemeriksaan kesihatan buat kali ketiga, barulah doktor mengesan tumor berkenaan. Kerana penyakit itu juga, berat saya turun mendadak daripada 75 kilogram (kg) kepada 50 kg. Mujur, ketika dalam proses pemulihan, berat semakin meningkat sehingga 60 kg," katanya kepada BH Online. Tambah Naz, ketika dirinya mendapat tahu mengenai ketumbuhan itu, dirinya terus buntu dan masih tertanya-tanya adakah berita yang dimaklumkan oleh doktor sememangnya benar atau tidak? Ekoran penyakit itu juga, beliau terus membuat pengurusan insuran, wasiat selain memberitahu keluarga terdekat. "Jujurnya, saya berasa gelap dan gelabah juga apabila disahkan mempunyai ketumbuhan dalam perut. Sukar untuk menggambarkan perasaan ketika itu. Maklumlah, tidak pernah terfikir pun kita akan berhadapan dengan ujian sedemikian. "Saya terus menghentikan aktiviti kerja buat sementara dan menguruskan hal keluarga, insuran dan wasiat. "Saya faham, sebagai seorang Islam, hidup dan mati itu pasti. Tetapi, mengenangkan isteri yang masih lagi baharu mengenali Islam, berita itu agak sukar untuk diterimanya. Kami bagaimanapun reda dengan ujian Allah," tuturnya. Dalam pada itu, Naz turut memohon maaf kepada semua pihak, termasuk peminat dan rakan, apabila beliau tidak memberitahu penyakit yang dihidapinya kepada mereka. "Buat kawan-kawan dan peminat, minta maaf kerana merahsiakan perkara ini. Saya tidak mahu mereka risau, kerana saya dan keluarga sendiri juga sukar untuk menerima keadaan ini. Jadi, lebih baik saya tidak mengumumkan perkara ini," katanya. Sementara itu, sejak pembuangan ketumbuhan itu, beliau mengubah aktiviti hariannya dengan lebih banyak menghabiskan masa bersama keluarga. Pengacara Jalan-Jalan Cari Makan ini berkata, beliau juga bersyukur kerana tidak perlu berpantang dalam pemakanan dan ia sedikit sebanyak memudahkan dirinya untuk meneruskan program pencarian makanan yang popular itu. "Alhamdulillah, saya tidak perlu berpantang dan ia memudahkan saya untuk meneruskan JJCM. "Kebetulan JJCM sudah berubah konsep di mana program ini lebih menekankan mengenai kesihatan sambil menjamu selera. Pada masa sama, konsep JJCM juga adalah untuk mengelakkan pembaziran. Jika dulu saya akan makan 10 hingga 12 jenis menu untuk setiap restoran, kini JJCM akan memilih tiga atau empat menu terbaik saja," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Naz yang kini berada di Kemboja bakal melancarkan kafe berkonsepkan lego dan mesra keluarga iaitu Blokke Cafe di Citta Mall, dekat sini. Ia akan mula beroperasi pada 8 Mei depan.


Powered by Blogger.