F Nad Zainal kunci mulut isu hamil | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Nad Zainal kunci mulut isu hamil

Pelakon Nad Zainal memilih untuk terus mengunci mulut mengenai berita kehamilannya, sebaliknya hanya meminta semua pihak mendoakan yang terbaik untuk dirinya dan suami. Nad atau nama sebenarnya Farah Nadia Zainal Abidin, 26, berpegang kepada prinsip enggan mengulas lanjut meskipun berita kehamilannya mula diperkatakan ketika dirinya sibuk menjayakan pementasan teater, Ombak Rindu di Panggung Sari, Istana Budaya. "Maaf saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Doakan yang baik-baik saja buat saya dan suami," katanya ketika dihubungi BH Online. Terdahulu, sumber yang juga kru produksi sebuah drama yang bakal dibintanginya memaklumkan isteri kepada Muhammad Faliq Amirudin, 28, itu sedang hamil, namun masih aktif meneruskan kerjaya lakonannya. Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian Kampung Girl itu berkahwin dalam sebuah majlis yang diadakan secara tertutup pada 18 Disember lalu tanpa liputan media. Mengulas mengenai pembabitannya dalam teater Ombak Rindu, Nad berbesar hati kerana diundang menjayakan pementasan yang diterajui oleh Uqasha Senrose dan Keith Foo itu biarpun hanya tampil untuk dua babak. "Mereka menginginkan pelakon yang mempunyai latar belakang teater dan saya menganggap ia sebagai penghargaan. Antara sebab saya menerimanya kerana penulis skrip pementasan itu bekas pensyarah saya. "Saya tidak ralat sekadar tampil untuk dua babak saja kerana mempunyai jadual kerja yang padat. Lebih baik begini kerana saya tidak mahu mendatangkan masalah kepada pihak produksi. "Biarpun banyak yang diperkatakan mengenai teater ini, namun saya berbangga dengan komitmen jitu yang diberikan oleh barisan pelakon. Uqasha juga menunjukkan peningkatan sebagai teraju utama Ombak Rindu," kata Nad. Dalam perkembangan lain, Nad berkongsi keterujaan untuk menjayakan telefilem terbitan Suhan Movies yang menampilkan barisan pelakon popular tempatan. Telefilem itu bakal menemui penonton istimewa sempena Aidilfitri nanti. Selain itu, dua filem lakonannya iaitu Aku Haus Darahmu arahan Aidil Fitri Mohd Eunos dan Juvana 3 dijangka bakal ditayangkan hujung tahun ini.


Powered by Blogger.