F Kuasa pengampunan hanya pada Yang di-Pertuan Agung | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Kuasa pengampunan hanya pada Yang di-Pertuan Agung

Kuasa untuk memberi pengampunan kepada bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjara lima tahun yang didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, hanya terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

Demikian yang dihujahkan Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan ketika mengemukakan bantahan awal dalam permohonan kebenaran semakan kehakiman Anwar yang mencabar keputusan Lembaga Pengampunaan kerana menolak petisyen pengampunannya.

Suzana berkata, keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong mengikut Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dicabar dan disemak oleh mana-mana mahkamah.

Artikel 42 menyatakan Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi pengampunan dan menunda hukuman berhubung segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan kesalahan dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sehubungan itu Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pernohonan tersebut, katanya yang mewakili Lembaga Pengampunan, Kerajan Malaysia dan Peguam Negara ketika ditemui selepas selesai prosiding.

Prosiding dalam kamar hakim Datuk Nor Bee Ariffin turut dihadiri Anwar yang mewakili dirinya sendiri, peguam N. Surendran mewakili Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Nurul Nuha.

Sementara itu peguam N Surendran berkata, pihaknya berhujah bahawa persoalan sama ada keputusan Lembaga Pengampunan yang tidak memberikan pengampunan kepada Anwar boleh disemak atau sebaliknya, sepatutnya dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim kemudiannya menetapkan 17 Mei ini untuk keputusan bantahan awal berkenaan.

Pada 24 Jun 2015, Anwar, isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuannya Nurul Izzah dan Nurul Nuha memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac dan agar lembaga itu menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan membebaskan Anwar, 67.

Mereka juga memohon perintah mandamus supaya lembaga itu mengadakan semula mesyuaratnya dan menimbang semua perkara berhubung petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja yang dikemukakan anggota keluarga Anwar serta mempersembahkan nasihat sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam afidavit untuk menyokong permohonannya, Anwar mendakwa keputusan lembaga itu melanggar peraturan keadilan asasi dan oleh itu, adalah tidak sah.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan kesalahan dan hukuman terhadapnya pada 10 Februari kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, pada 2008.
Powered by Blogger.