F KRU rancang konsert 25 tahun | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

KRU rancang konsert 25 tahun

Bagi menghargai sokongan peminat kepada mereka sejak lebih dua dekad lalu, KRU merancang untuk menganjurkan konsert sempena 25 tahun usia kumpulan berkenaan, tahun depan. Perkara terbabit disahkan sendiri oleh anggotanya, Yusry Abdul Halim, ketika ditemui pada majlis pelancaran Karya 12 di sini, baru-baru ini. "Iya, memang kami ada merancang untuk mengadakan konsert pada tahun ke-25 penubuhan KRU, iaitu pada 2017. Konsert ini adalah untuk peminat yang terus setia menyokong kami, dari awal hingga sekarang," kata beliau yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengarah. Jika ia menjadi kenyataan, nampaknya peminat seni muzik tanah air sekali lagi dapat berhibur bersama persembahan ulang tahun berskala besar selepas konsert dua dekad Datuk Siti Nurhaliza dan 30 tahun Ella, baru-baru ini. Sejak ditubuhkan pada 1992, KRU sememangnya antara nama berpengaruh dalam industri seni negara ini. Bukan sekadar melahirkan banyak lagu popular dendangan mereka sendiri, kumpulan yang turut dianggotai oleh Datuk Norman dan Edry Abdul Halim ini juga menghasilkan karya meletup nyanyian artis lain termasuk Feminin, Rabbani, Stacy, Adam dan Forteen. Antara lagu popular nyanyian mereka ialah Mengerti, Awas, Ooh! La! La!, Apa Saja, The Way We Jam, Jangan Lafazkan, Bidadari, Impak Maksima dan Terhangat Di Pasaran. Selain itu, menerusi syarikat perfileman mereka, KRU Studios, Yusry dan abangnya menghasilkan karya popular seperti Cicak-Man, Duyung, Jin Notti, Magika dan Hikayat Merong Mahawangsa. Mengenai pembabitannya dalam projek Karya 12, Yusry akan mengarahkan telefilem diberi judul Rong Ples Rong Taim dan sebuah lagi karya untuk pelajar universiti yang terpilih berada di bawah pemantauannya. Karya 12 ialah inisiatif Astro Citra yang menyaksikan impian enam pelajar jurusan seni filem daripada institusi pengajian tinggi tempatan diberi peluang bergandingan dengan enam pengarah terkenal negara. Selain Yusry, turut terbabit dalam projek itu ialah Osman Ali, Sabri Yunus, Bernard Chauly, Michael Ang dan Ghaz Abu Bakar. "Ketika ditawarkan untuk terbabit dalam projek ini, saya sendiri amat tertarik dengan usaha dilakukan Astro Citra. Saya percaya generasi baharu sentiasa memberikan sesuatu idea yang segar. "Pelajar yang terbabit dalam projek ini, contohnya, boleh berfikir di luar kotak. Pada masa sama mereka tetap memerlukan bimbingan. Pelapis baharu dalam dunia pengarahan ini perlu ada dan haruslah berterusan," katanya. Ditanya mengenai aliran pelakon menjadi pengarah, suami kepada Lisa Surihani ini tidak melihatnya sebagai satu masalah. "Pelakon, sekalipun tiada pengalaman mengarah, mereka sebenarnya tahu selok-belok di depan kamera. Pelakon pun setiap hari 'berkampung' di set penggambaran dan mereka akan tahu masalah yang berlaku serta dihadapi produksi," katanya.


Powered by Blogger.