F Jehan yakin Tony tabah jalani hukuman | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Jehan yakin Tony tabah jalani hukuman

Pelakon, Jehan Miskin yakin teman seperjuangannya, Tony Eusoff, mampu berdepan hukuman penjara selama lapan bulan di Singapura dengan baik. Jehan atau nama sebenarnya Mohd Jehan Miskin, 37, berkata walaupun sedih dengan keputusan itu, beliau yakin Tony akan menjadi seorang yang lebih kuat apabila keluar penjara nanti. "Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika mendengar hukuman penjara dijatuhkan terhadap rakan baik sendiri. Saya rasa ia satu kerugian yang sangat besar bagi seorang anak seni seperti Tony. "Tetapi, jika melihat di sudut positif, saya percaya beliau mampu menguruskan dirinya dengan baik di penjara dan keluar dengan menjadi lelaki yang berbeza," katanya kepada BH Online. Mahkamah Singapura semalam menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara ke atas pelakon lelaki berkenaan kerana memiliki dadah. Tony dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mac lalu dan didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah. Pelakon itu dipercayai memiliki satu paket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja. Beliau didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas, 12 Mac lalu. Selain Jehan, penerbit filem, Datuk Vinod Shekar dan beberapa rakan artis lain turut hadir di mahkamah bagi memberikan sokongan terhadap aktor kelahiran Sarawak itu. Sementara itu, Jehan berkata, dia bersyukur apabila ramai yang memberi sokongan kepada Tony menerusi laman sosial dan perkara itu jarang-jarang berlaku kepada selebriti yang dikaitkan dengan kesalahan serupa. "Biasanya jika perkara yang buruk seperti insiden ini berlaku terhadap selebriti, ramai peminat akan mengutuk. Tetapi berbeza dengan Tony, dia tidak henti-henti mendapat sokongan daripada semua pihak. "Mungkin kerana status yang dimuat naik di Facebook menunjukkan kejujurannya membuatkan semua orang dapat rasa apa yang dilaluinya ketika ini. "Ramai juga yang menghantar mesej kepada saya bagi menyatakan sokongan mereka terhadap Tony. Saya harap Tony kuat dan kembali ke industri menjadi seorang yang lebih kreatif," katanya.


Powered by Blogger.