F Jehan Miskin bagi sokongan ketika Tony Eusoff dihukum | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Jehan Miskin bagi sokongan ketika Tony Eusoff dihukum

NUKILAN diari saya minggu ini berkisar mengenai kisah di bilik mahkamah No 18 yang sama di mana pelakon Tony Eusoff dijatuhi hukuman penjara pada 21 April.

Sementara Tony, yang nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, kelihatan tenang semasa hakim menjatuhkan hukuman, saya pula mula rasa gementar dan tapak tangan saya mula berpeluh.

Senario di bilik mahkamah nampak bagaikan mimpi bagi saya. Saya terpaksa mengingatkan diri sendiri, "awak bukan menyaksikan babak perbicaraan mahkamah di TV... awak bukan menyaksikan siri drama perundangan Amerika, LA LAW."

Saya turut terharu melihat ramai daripada rakan serta peminat Tony datang dari Malaysia dan Singapura untuk menghulurkan sokongan moral bagi Tony.

Pelakon dari Malaysia Jehan Miskin, pelakon teater Lim Kay Siu dan Neo Swee Lin, penerbit filem Datuk Vinod Shekar dan Ivan Heng adalah antara rakan yang berada di bilik mahkamah itu.

Suasana dalam mahkamah bertukar sayu apabila hakim Salina Ishak menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan.

Tony sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah.

Sebelum itu, semasa menunggu di luar milik mahkamah No 18, saya melihat rakan dan peminat beliau datang awal sebelum penghakiman bermula.

Kali ini saya memperkenalkan diri kepada mereka dan berbual sebentar.

Dalam perbualan itu, saya dapat rasakan yang mereka tahu peluang Tony dibebaskan agak tipis.

Pada hakikatnya, kesemua mereka mendoakan satu keajaiban bagi menyelamatkan pelakon kelahiran Sarawak itu.

Jehan Miskin mahu berada di sisi Tony walaupun beliau perlu bergegas balik selepas penghakiman memandangkan beliau mempunyai satu lagi komitmen pada jam 5.00 petang di Tapah, Perak pada hari yang sama.

Hakim Salina turut berbesar hati dan membenarkan Tony memberi kata-kata akhir kepada dua rakannya sebelum dibawa pengawal.

Tony nampaknya mempunyai rakan-rakan yang cukup baik. Mereka bukan sahaja muncul di bilik mahkamah tetapi juga menulis testimoni bagi meringankan hukuman.

"Saya benar-benar gembira yang bintang-bintang pawagam tempatan kita menjawab permintaan saya dan tanpa bertanya mereka semua menghulurkan sokongan penuh bagi Tony," kata peguam Tony, Abraham Vergis.

"Adakah anda membaca testimoni mereka?" Vergis bertanya saya. Petang itu saya membaca testimoni-testimoni berkenaan. Saya tertarik dengan apa yang ditulis mereka.

Testimoni itu datang daripada ramai personaliti bidang seni persembahan, termasuk daripada Puan Sri Tiara Jacquelina, Tan Sri Dr Effendi Norwawi, dan ahli perbankan serta ketua eksekutif TC Capital Dr Tommy Tan.

Tiara Jacquelina, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enfiniti Vision Media berkata Tony "dikenali dalam industri perfileman Malaysia sebagai pelakon yang segak, berdisiplin dan boleh dipercayai, dan saya pernah memilih beliau berlakon dalam dua muzikal pentas yang diterbitkan oleh syarikat saya, Enfiniti.".

Menurut beliau lagi Tony "mempunyai masa hadapan yang cerah sebagai pelakon di Malaysia dan Singapura, dan dianggap antara aset paling bernilai dalam industri seni tempatan."

Sementara itu, Dr Effendi Norwawi, Pengerusi Bloomberg TV Malaysia, menulis dalam testimoninya; "Reputasi peribadi dan profesional Tony yang disegani menjadikan beliau antara bakat yang dicari oleh penerbit dan pengarah di Malaysia dan Singapura.

Tony berada dalam laluan untuk mencapai kejayaan yang lebih lagi pada tahun-tahun akan datang, dan akan menjadi penyumbang besar kepada pentas seni di Malaysia dan Singapura."

Tony Eusoff akan 'hilang' seketika buat sekarang ini.

Bagaimanapun, bersama rakan-rakan hebat serta pesonanya, beliau akan muncul semula menjelang 2017.

Sehingga hari ini, Tony beraksi dalam 17 persembahan teater, berlakon dalam 14 filem dan 69 siri televisyen, mengacara lima program TV, dan muncul di 35 acara.

Terbaharu, Tony beraksi dalam program 'The Hush' terbitan Channel 5 MediaCorp, yang penggambarannya berakhir pada hari beliau dituduh.
Powered by Blogger.