F Hans Isaac seimbang bisnes, kerjaya | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Hans Isaac seimbang bisnes, kerjaya

WAJAH selebriti ini sudah lama tidak muncul dalam mana-mana drama bersiri. Jika filem pula, mungkin hanya sekali dalam setahun.

Bukanlah bermaksud sombong atau meninggi diri, hakikatnya, Datuk Hans Isaac terlalu sibuk dengan imejnya sebagai ahli korporat yang berjaya.

“Mungkin orang tidak nampak, tetapi sebenarnya saya perlu menguruskan empat syarikat secara serentak.

“Saya banyak bekerja di belakang tabir, melibatkan diri dalam bidang minyak dan gas (O&G), pengarahan, penerbitan dan seni teater.

“Saya terlalu kuat bekerja, bahkan jadual saya juga padat dan perlu bekerja sehingga jam 11 ke 12 malam,” katanya kepada Zass ketika ditemui selepas rakaman Sembang Teh Tarik Kaw di Studio Pinewood Iskandar Johor Bahru, baru-baru ini.

Namun, tanpa disedari, pemilik nama sebenar Gerald Hans Isaac ini sudah pun berkecimpung selama 25 tahun dalam industri seni hiburan.

“Terlalu banyak kenangan pahit manis dan jatuh bangun yang sudah saya lalui sepanjang tempoh itu,” katanya.

Lebih membanggakan, pelakon filem Persona Non Grata ini juga pernah bekerja di bawah produksi luar negara seperti Thailand, Singapura dan Filipina.

“Saya bakal muncul dalam sebuah filem Indonesia berjudul Bayang. Sebelum ini, saya berlakon dengan produksi Filipina bagi menjayakan filem Miss You Like Crazy dan Singapura untuk Carmina.

“Saya suka bekerja dengan produksi luar kerana mereka membawa saya sebagai pelakon. Ia adalah satu penghargaan buat saya,” katanya.

Terus bangkit, teraju utama filem Nota ini mengakui masih belum puas dengan pencapaian yang dimilikinya terutama dalam bidang seni.

“Jika untuk industri, ada beberapa impian saya yang masih belum digapai mengikut elemen yang berbeza.

“Menerusi bidang teater, impian terakhir saya  adalah untuk mementaskan teater, Rejang di Kota London. Saya mahu menjadi produksi pertama tempatan yang berkemampuan mementaskan teater di sana.

“Bagi filem pula, saya mahu menghasilkan sebuah filem yang berkisarkan kehidupan mendiang ibu saya, Carmina Anciano Isaac. Saya tidak akan berlakon dalam filem itu, tetapi apabila menghasilkannya, saya rasa itu sudah cukup memberi kepuasan,” katanya.

Pada masa sama, Hans tampil menerbitkan teater Lawak Ke Der yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 5 hingga 8 Mei depan.

“Acara ini hanya diadakan setahun sekali, jadi selaku pengarah, saya akan pastikan setiap pelawak terlibat tidak mengulang idea yang sama. Untuk itu, saya tetapkan syarat supaya idea haruslah segar bagi menjaga kualiti persembahan agar pelawak tidak hambar,” katanya.

Bakal berkahwin?

Beralih kepada sisi peribadinya, Hans yang kini sudah berusia 45 tahun mengakui tidak pernah menyesal kerana lambat mendirikan rumah tangga.

Pelakon filem Misteri Jalan Lama itu sebaliknya memberikan gambaran buruk sekiranya berkahwin awal lantaran tidak bersedia menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

“Jika saya berkahwin awal, mungkin perkahwinan itu tidak akan bahagia.

“Mungkin saya akan bercerai. Saya tidak mahu perkara itu terjadi dalam hidup saya,” katanya.

Disifatkan sebagai terlalu memilih dan cerewet dalam soal jodoh, Hans mengakui mengharapkan wanita yang sempurna untuk dijadikan teman hidup.

Namun, seiring dengan peredaran usia, pelakon filem Lemak Kampung Santan ini akhirnya akur tiada yang sempurna di dunia ini.

“Ada teman memberitahu, dalam mencari pasangan hidup tidak ada yang sempurna. Mungkin 20 peratus tidak sempurna dan hanya 80 peratus.

“Jadi, sebagai lelaki, sayalah yang perlu berusaha untuk melengkapkannya supaya menjadi sempurna.

“Dengan usia sekarang dan keyakinan yang tinggi untuk berkahwin, saya juga yakin menyatakan andai saya berkahwin sekarang, saya boleh menjadi lelaki yang penyayang serta suami terbaik,” katanya.

Mengakui sedang menjalinkan hubungan cinta dengan seseorang, Hans bagaimanapun enggan menceritakannya dengan lebih lanjut.

Katanya, situasi itu didorong oleh pengalaman silam yang akhirnya menyebabkan hubungan cintanya kecundang di tengah jalan.

“Saya belum bersedia umumkan siapakah orangnya. Adakah dia artis atau orang biasa tunggulah masa yang sesuai,” katanya.
Powered by Blogger.