F Fenomena Dr Zakir Naik berterusan! | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Fenomena Dr Zakir Naik berterusan!

MESKIPUN berdepan kontroversi, kehadiran pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik berjaya menawan lebih 100,000 pengunjung tempatan menerusi enam siri kuliah di Terengganu dan Kuala Lumpur.

Tidak betah duduk diam, fenomena tokoh perbandingan agama itu tetap diteruskan menerusi kempen #IslamIsFirstClass anjuran stesen televisyen Islam pertama di negara ini, TV AlHijrah.

Dasarnya, kempen bertujuan memartabatkan Islam sebagai jalan hidup tamadun moden menerusi pelbagai program menarik seperti Klinik D’ Hijrah, Al-Quran & Sains, Pentas Dakwah dan Reflections bermula dari 10 April lalu.

Sehubungan itu, Peace TV menjalin kerjasama dengan TV AlHijrah menerusi program Tonight With Zakir Naik sekali gus menyiarkan ceramah daripada pendakwah berusia 51 tahun itu yang menyentuh pelbagai isu berkaitan Islam.

Ternyata, siaran kolaborasi di antara kedua-dua dua stesen penyiaran patuh syariah ini dilihat mampu melengkapkan lagi teras persefahaman dalam merencanakan agenda media Islam di peringkat antarabangsa.

Lebih membanggakan, TV Al Hijrah turut diberi hak menyiarkan kandungan siaran Peace TV tanpa had waktu sehingga 2040.

Pengasas dan Presiden Peace TV, Dr Zakir Naik memberitahu, penubuhan stesen penyiaran itu fokus usaha menyiarkan dakwah Islam sebenar melalui pendekatan satelit.

"Peace TV di United Kingdom memiliki lapan pemancar satelit yang kini ditonton 60 juta penduduk di lebih 40 negara," katanya ketika diwawancara dalam program khas tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai kempen #IslamIsFirstClass, pendakwah yang mendapat gelaran Deedat Plus ini menyentuh mengenai asas dakwah dalam era komunikasi digital.

Bahkan, pemilik nama sebenar Dr Zakir Abdul Karim Naik ini turut mengangkat peranan media massa sebagai platform utama dalam meluaskan syiar Islam.

"Media barat menyerang dan memberikan gambaran buruk mengenai Islam hingga dilihat sebagai agama keganasan.

"Jadi, kita harus menjawabnya melalui media massa juga," katanya sambil menyokong usaha TV AlHijrah dalam meletakkan Islam sebagai agama kelas pertama.

Menurut tokoh Maal Hijrah 2013 ini, usahanya untuk menyediakan pendebat yang baik dan teknologi media massa adalah antara salah satu medium untuk membuktikan kempen #IslamIsFirstClass.

"Saya memiliki sebuah sekolah khas di Mumbai, India yang diiktiraf Universiti Cambridge.

"Kita melatih pelajar seawal usia empat tahun untuk bercakap di khalayak ramai.

"Malah, kita melatih mereka memahami dan hayati al-Quran serta cara menyampaikan logiknya untuk semua umat manusia," katanya.

Wadah perkongsian ilmu

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Izelan Basar memberitahu, program Tonight With Dr Zakir Naik dilihat mampu menarik golongan muda dan profesional dalam memahami perbincangan bersandarkan hujah, fakta dan ilmu pengetahuan.

"Selama 10 episod bersiaran, program ini dipadatkan dengan sari kata Bahasa Melayu.

"Ia akan membincang dan menghuraikan topik pilihan sekitar kehidupan serta norma Islam yang sesuai untuk dijadikan panduan kehidupan masyarakat berbilang bangsa dan agama," katanya.

Katanya, objektif utama program ini  melengkapkan lagi usaha memartabatkan Islam serta meningkatkan tahap kefahaman umat Islam dan bukan Islam mengenai Islam di negara ini.

"Program ini dilihat sebagai wadah untuk meluaskan lagi perkongsian ilmu dalam konteks debat ilmiah serta naratif sains sekali gus menjadi kekuatan Dr Zakir hingga diangkat sebagai pendebat ulung Islam.

"Lebih-lebih lagi, setiap tajuk kupasan sesuai tontonan umum dan berpotensi besar untuk agama sejagat selain pupuk persaudaraan, kesederhanaan, kasih sayang dan perpaduan," katanya.

Jelasnya, antara tajuk bakal dikupas ialah Is The Quran God's Word, Is Terrorism A Muslim Monopoly, What Is The Purpose Of Our Life?, Is Islam The Solution For Humanity dan lain-lain.

Selain itu, katanya, program ini juga akan menyiarkan lebih 80 episod ceramah Dr Zakir merangkumi pelbagai topik dan isu.

Tonight With Dr Zakir Naik mula bersiaran di TV Al Hijrah (saluran 114), setiap Rabu mulai 20 April lalu jam 10.30 malam dan Khamis (21 April) jam 8.30 malam.
Powered by Blogger.