F Dr Muhaya Dot Com kembali musim kedua | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Dr Muhaya Dot Com kembali musim kedua

RANCANGAN bual bicara terbitan TV ALHIJRAH, Dr Muhaya Dot Com, akan kembali untuk musim kedua bermula 3 Mei pada setiap hari Selasa jam 9.30 malam.

Ketua Pegawai Operasi TV Al-Hijrah Dr Abu Bakar Sarpon berkata rancangan berkonsepkan gaya hidup itu bertujuan untuk mendidik penonton secara berterusan tentang aspek kesihatan holistik iaitu kesihatan rohani dan jasmani.

"Kami ingin membawa satu pembaharuan dengan memaparkan program ilmiah dalam bentuk santai, yang lengkap dengan input pakar dari pelbagai bidang," katanya ketika majlis pelancaran musim kedua program tersebut di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Abu Bakar berkata, pihaknya yakin program ini akan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan rakyat Malaysia berikutan sambutan yang hebat dari musim pertama.

"Kami mensasarkan 200,000 penonton untuk musim ini dan kami percaya rakyat Malaysia sudah semakin berpengetahuan dan lebih bijak dalam menilai program yang patuh syariah serta berpaksi pada fakta," katanya.

Rancangan yang akan dihoskan selama sejam oleh Prof Dr Muhaya Mohamad ini akan memaparkan empat segmen utama iaitu Klinik Dr Muhaya, Prihatin@TVAlhijrah, Rawat Jiwa dan Dapur Sihat.

Antara kelainan yang ditampilkan dalam musim kedua ini adalah segmen Prihatin@TVAlhijrah yang bertujuan untuk membantu rakyat yang mengalami masalah kesihatan dan ia selaras dengan tanggungjawab sosial TV Al-Hijrah dalam membantu golongan yang memerlukan.

Segmen Klinik Dr Muhaya akan membincangkan perihal penyakit yang sering dihidapi rakyat Malaysia bersama pakar perubatan berpengalaman dari hospital kerajaan dan swasta seluruh negara manakala segmen Dapur Sihat akan mengetengahkan pelbagai resepi ideal dan tip penyediaan makanan sihat.

Menerusi segmen Rawat Jiwa pula, Prof Dr Muhaya akan berkongsi kata perangsang serta memberikan motivasi kepada penonton yang inginkan ketenangan psikologi dan spiritual.

Program Dr Muhaya Dot Com musim kedua ini mempunyai 13 episod dan mendapat tajaan Syarikat Faiz Rice Sdn Bhd.
Powered by Blogger.