F Cinta, Rangga masih serasi selepas 14 tahun | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Cinta, Rangga masih serasi selepas 14 tahun

Pelakon utama Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC2), Dian Sastrowardoyo, 34, berkata keserasian antara dirinya dengan Nicholas Saputra, 32, tetap ada walaupun selepas kira-kira 14 tahun tidak bergandingan bersama. Pasangan berkenaan pernah mencipta fenomena lebih sedekad lalu apabila filem lakonan mereka, AADC, ditayangkan sekitar 2002. Dalam karya arahan Rudy Soedjarwo itu, mereka membawakan watak pasangan kekasih remaja bernama Cinta dan Rangga. Mulai esok, judul susulannya akan mula menemui penonton di pawagam seluruh negara. Di Malaysia, filem arahan Riri Riza terbabit diedarkan oleh Primeworks Distribution. "Sekali keserasian itu sudah ada dulu, selepas 14 tahun pun, setiap kali kita bersatu ia masih ada di situ. "Sama seperti menunggang motosikal, walaupun sudah tidak menunggang 15 tahun sekalipun, kalau ditunggang balik kita pasti boleh melakukannya. Begitu juga dengan berenang," katanya berkias tatkala ditemui pada malam gala filem terbabit di Mutiara Damansara, di sini, malam tadi. Filem drama cinta yang diterbitkan Mira Lesmana menerusi Miles Productions itu turut menyaksikan babak cium antara Cinta dan Rangga dipotong bagi tayangannya di negara ini. Mengulas mengenai ketiadaan babak berkenaan di sini, pelakon jelita itu berkata, soalan terbabit tidak relevan untuk diajukan.

"Bagaimanapun, kalau mahu tengok babak sepenuhnya tanpa tapisan, penonton di Malaysia boleh menontonnya di Jakarta atau Jogjakarta," katanya yang memberitahu, dirinya berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan momentum lakonan dalam naskhah berkenaan. Sementara itu, ketika ditanya mengenai tempoh begitu lama diambil untuk menghasilkan kisah susulan kepada kisah cinta popular berkenaan, Mira berkata, pada asalnya beliau tidak menganggap naskhah AADC patut dipanjangkan lagi ke layar perak. "Namun, ia masih ada kesan dan kenangan tersendiri buat pelakon serta pekerja belakang tabir. Malah, ada di antara kami yang terbabit dalam produksi cerita lain, seakan-akan tidak boleh melupakan memori AADC. "Kami bahkan turut mengadakan perjumpaan semula membabitkan pelakon dan mereka yang terbabit dalam filem ini pada 2012. "Rangga dan Cinta juga berada pada usia yang tepat, saat ini, untuk membuat keputusan dalam hidup. Jadi terhasillah sekuel ini," katanya.


Powered by Blogger.