F Artis kena hati-hati dengan netizen - Esma Daniel | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Artis kena hati-hati dengan netizen - Esma Daniel

Pelakon generasi muda masa kini perlu bijak mengendalikan media sosial masing-masing agar tidak terjebak kepada kontroversi, kata pelakon Esma Daniel. Menurut Esma atau nama sebenarnya Esma Dainal Md Isa, 47, berdasarkan pemerhatian beliau, masih ada segelintir artis yang tidak faham mengenai pengendalian media sosial, dengan terlalu mendedahkan kisah peribadi dalam teknologi berkenaan, sehingga memberi impak buruk pada diri sendiri. "Zaman saya bukan seperti sekarang. Jika sesuatu kejadian berlaku hari ini, ia mengambil masa agak lama untuk disebarkan pada umum. Situasi agak berbeza dengan sekarang, yang saya sifatkan sebagai zaman netizen. "Bagi saya, artis perlu berhati-hati dengan netizen. Maksudnya, mereka perlu berfikir dulu kesan baik dan buruk terhadap diri dan umum setiap kali memuat naik gambar atau status di media sosial masing-masing. "Teknologi ini ada kesan baik dan buruk dalam jangka masa panjang. Jika kita tidak pandai menggunakannya secara baik, ia boleh memberi impak buruk pada kita," katanya kepada BH Online. Esma, yang juga seorang daripada penyampai trofi pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH 29, diminta mengulas mengenai penggunaan media sosial yang dilihat lebih memberi keburukan daripada kebaikan kepada golongan artis. Tambah Esma, sekiranya tercetusnya kontroversi yang membabitkan perbalahan atau salah faham di antara golongan netizen, artis perlu bijak mengendalikan isu berkenaan agar ia tidak diperbesarkan. Dalam pada itu, sebagai pelakon berpengalaman, beliau turut mengikuti perkembangan teknologi dengan memiliki akaun media sosial sendiri bagi mempromosikan diri dan kerjaya, selain perniagaan dijalankan. "Saya juga masih gigih mencuba untuk berada dalam dunia media sosial. Saya menggunakannya sebagai platform untuk mempromosikan diri dalam bidang perniagaan mahupun lakonan. "Walaupun kurang gemar mendedahkan hal peribadi kepada umum, saya tetap akan berkongsi sedikit agar pengetahuan umum mengenai kerjaya dan peribadi saya seimbang," tuturnya.


Powered by Blogger.