F Ada apa di sebalik kontroversi MB? | Kakigosip.com - Berita Hiburan Malaysia, Gosip Artis, K-Pop, Filem dan Muzik
Sila Follow and Like twitter dan facebook kami.

Berita Terkini
recent

Ada apa di sebalik kontroversi MB?

BAHARU sahaja reda sekejap, tiupan angin di Terengganu kembali kencang dengan suhu politik kembali panas seiring dengan fenomena El Nino sedang melanda negeri dan negara ketika ini.

Realitinya, perkembangan terbaharu penarikan semula darjah dan pingat kebesaran dikurniakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin kepada Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkuat kuasa Jumaat lalu kembali menggegarkan Terengganu Darul Iman.

Sebelumnya, Dun Terengganu bergolak selepas Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengusulkan undi tidak percaya kepada kepimpinan Ahmad Razif pada Sidang Dun, 8 Mac lepas tetapi keadaan dikatakan telah diselamatkan oleh Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zuber Embong apabila memutuskan menolak usul tersebut.

Dan memang benar keadaan beransur pulih namun ia hanya berlangsung beberapa waktu apabila gelombangnya kembali bergelora selepas Ahmad Said seolah-olah memberi peringatan terhadap Ahmad Razif tentang kedudukannya yang belum tentu selamat.

Berasa tercabar, Ahmad Razif kemudian memberi maklum balas bahawa beliau tidak akan berdiam diri seolah-olah mahu melancarkan ‘perang’ terhadap sebarang serangan terhadapnya.

Krisis itu sebenarnya dilihat tidak lebih antara dua individu tetapi ia sudah tentu membuatkan dalaman Umno berada dalam keadaan runcing, apatah lagi dengan kedudukan kerusi Dun tidak begitu stabil, tidak sepatutnya pimpinan Umno meletakkan nasib parti dan ahli-ahlinya dalam keadaan seperti itu.

MB perlu diganti?

Ada yang berkata, Umno perlu mengambil tindakan secepat mungkin dengan tiga pilihan antaranya ganti menteri besar sedia ada kepada yang baharu, mewujudkan kerajaan campuran dengan Pas dan akhir sekali membubarkan Dun bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Jika pilihan pertama diambil, siapakah Adun BN yang bakal dilantik sebagai menteri besar?

Pilihan ini agak popular di kalangan beberapa pihak ketika ini dan sebenarnya sudah mula dimainkan selepas Ahmad Said tampil dengan kontroversi usul tidak percaya itu.

Antara yang disebut sebelum ini adalah Ketua Umno Bahagian Setiu yang juga Adun Permaisuri, Datuk Mohd Jidin Shafee; Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang dan Adun Telemong yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Jika dilihat dari aspek senioriti, Mohd Jidin dan Tengku Putera yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan mungkin adalah dua pilihan dan kedua-duanya melalui fasa lebih baik dalam politik selepas menang dalam pertandingan pertama di kerusi Dun pada PRU 1995.

Bezanya ketika ini, Tengku Putera tidak mempunyai apa-apa jawatan di bahagiannya selepas ditewaskan Ahli Parlimen Hulu Terengganu yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari dalam pemilihan Umno Bahagian Hulu Terengganu.

Jika diambil kira kedudukan tersebut, Mohd Jidin mungkin mempunyai peluang lebih besar kerana kedudukannya lebih kukuh sebagai Ketua Umno Bahagian Setiu dan biasanya, jawatan di peringkat Umno bahagian diambil kira dalam pelantikan menteri besar walaupun ia bukanlah syarat.

Pemilihan Rozi sebagai menteri besar pula tidak seharusnya diperlekehkan walaupun agak junior berbanding Mohd Jidin dan Tengku Putera tetapi dengan prestasi agak baik dan tiada kontroversi, beliau juga dilihat berpotensi.

Jika ada kontroversi pun, ia hanyalah melibatkan prestasi sukan bola sepak Terengganu dan sudah tentu prestasi sukan bola sepak tidak seharusnya dibelenggu dengan isu politik.

MB baharu selesai masalah?

Persoalannya, adakah menteri besar baharu bakal memberi impak yang besar dalam memastikan kelancaran pentadbiran Terengganu dan kesepaduan Umno Terengganu kerana sinonimnya, menteri besar turut dilantik sebagai Pengerusi Umno Terengganu.

Jika menteri besar baharu gagal untuk memastikan keadaan lebih baik, tidak mustahil BN juga gagal memperkukuhkan kedudukannya yang kini belum cukup stabil selepas PRU13 lepas dan sudah tentu, membahayakan BN Terengganu sendiri.

Jika Ahmad Razif kekal sebagai menteri besar, peluang seharusnya diberikan kepada beliau sebaik mungkin kerana dalam keadaan genting, perpaduan dalam kalangan Umno dan BN perlu diperkuat jika mahu mengekalkan kerajaan BN di Terengganu.

Dua pilihan lain

Bagaimanapun, dua pilihan masih ada iaitu mewujudkan kerajaan campuran dengan Pas dan membubarkan Dun bagi memastikan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN).

Kedua-dua pilihan itu juga mungkin ada pro dan kontranya kerana kerajaan campuran sudah tentu memerlukan kejujuran dan kerjasama padu daripada kedua-dua pihak iaitu Umno dan Pas bagi memastikan keharmonian negeri.

Jika kerajaan campuran dipilih, ia baik untuk rakyat Terengganu kerana kerajaan campuran bererti penyatuan dua pihak yang mampu memperkuatkan Melayu dan Islam sendiri, sekali gus meredakan perbalahan dan sikap prejudis antara kedua pihak.

Tetapi, apakah masing-masing terbuka atau jujur untuk memastikan kerajaan campuran berjalan lancar kerana jika kerajaan dengan satu parti pun boleh wujud krisis, apatah lagi kerajaan dengan dua parti?

Ia mungkin tidak mampu membawa politik matang di negeri ini tetapi belum tentu dan tidak mustahil jika kedua-dua pihak boleh bersikap profesional dalam memastikan masa depan Terengganu lebih baik.

Begitu juga jika PRN dilaksanakan, ia mungkin boleh menyelamatkan Terengganu tetapi dengan keadaan sedia ada yang dilihat tidak memihak kepada BN, ia mungkin akan dijadikan alasan untuk tidak berlakunya pilihan raya negeri.

Di samping kos yang tinggi diperlukan untuk satu-satu pilihan raya, malah tempoh sedia ada yang dikatakan tidak sesuai kerana agak rapat dengan PRU14 yang akan berlangsung mungkin dalam tempoh tidak sampai dua tahun dari sekarang.

Mengambil kira semua faktor ini, solusi terbaik adalah daripada kepimpinan BN sendiri. Pada akhirnya, pilihan terletak di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara bijaksana dalam membuat keputusan, tanpa mengetepikan prinsip Raja Berperlembagaan.
Powered by Blogger.