Che Ta, Zain raya bersama


SEJAK mengakui percintaan mereka, pasangan sama cantik sama padan ini sering menjadi perhatian ramai dan rata-ratanya merestui hubungan mereka.

Justeru sambutan Aidilfitri kali ini turut diberi perhatian, apatah lagi pasangan dua sejoli ini dijangka bakal ke jinjang pelamin pada penghujung tahun.

Tidak berselindung, pelakon yang kini terkenal dengan watak guru bahasa Inggeris bernama Henry Middleton mengakui berkunjung ke rumah cinta hatinya itu.

"Saya belum berkesempatan lagi untuk berjumpa dengan keluarganya, jadi sempena Lebaran kali ini saya memang merancang untuk bertemu dan sekali gus berhari raya dengannya di Alor Setar, Kedah.

"Bagaimanapun saya akan berhari raya bersama keluarga di Gombak terlebih dahulu dan mungkin akan menaiki penerbangan ke Kedah, itu pun kalau ada tiket," katanya.

Ditebak mengenai persiapan raya untuk ke sana, akui Zain, segala kelengkapan dan persiapannya pada lebaran kali ini banyak diuruskan oleh Che Ta.

"Saya agak sibuk ketika Ramadan kali ini dengan penggambaran drama dan sebagainya. Jadi masa agak terhad untuk saya membeli belah dan membuat persiapan sebagainya.

"Mujur Che Ta banyak membantu saya memilih baju dan sebagainya," ujarnya yang bercuti sejak 4 Ogos lalu.

Bagi Rozita Che Wan pula, dia sudah pulang ke Alor Setar sejak 5 Ogos lalu, bersedia untuk bertemu ibu Zain.

"Kalau ibunya atau Zain jemput saya, saya bersedia untuk berhari raya bersama mereka.

"Sekiranya ada masa terluang saya tidak keberatan untuk ke sana dan berhari raya bersama mereka," katanya yang beraya tanpa anak-anak di sisi tahun ini.

Menurut Rozita atau Che Ta, biarpun anak-anak beraya bersama bekas suaminya tahun ini, namun dia tidak berasa kesunyian kerana semua adik-beradiknya pulang ke Alor Setar kali ini.

"Tahun lepas mereka balik ke rumah mertua masing-masing dan kali ini berhari raya ke sini. Jadi meriahlah juga dengan kehadiran adik-beradik.

"Kami juga ada membuat rumah terbuka minggu ini dan saya turut menyediakan menu istimewa buat para tetamu," katanya yang menggayakan baju raya berwarna merah dan hijau kali ini.

Tidak bercuti lama, menurut Che Ta dia akan pulang ke Kuala Lumpur esok dan bakal mula bekerja sedikit hari lagi.

Katanya, rezeki dia dan Zain semakin murah sejak akhir-akhir ini dan tawaran juga tidak putus-putus hadir.

"Saya akan terlibat dengan penggambaran minggu depan untuk cerekarama dan juga program Primadona. Selain itu selepas ini saya akan terlibat sebagai juri untuk program Ratu Rania," katanya.

Menurutnya, biarpun jadualnya agak padat, namun dia merancang untuk membuat rumah terbuka di Kuala Lumpur pada minggu kedua Syawal.

Manakala Zain juga turut mengakui rezekinya semakin murah apatah lagi semenjak dia membintangi sitkom Oh My English.

"Ini adalah masa saya untuk mencari rezeki, mengumpul duit sebelum berkahwin dan Alhamdulillah rezeki saya memang semakin murah.

"Saya tak sangka sitkom Oh My English banyak membantu menaikkan nama saya dalam industri dan terbukti sitkom sebegini masih diterima," katanya.

Ditebak berkisar persiapan perkahwinan, keduanya mengakui akan mula berbincang hal berkenaan selepas hari raya nanti.

"Kita dahulukan sambutan hari raya, selepas ini barulah kita akan mula berbincang mengenai perkahwinan.

"Lagipun masih ada banyak masa lagi dan majlis pula dijangka berlangsung pada hujung tahun. Tapi buat masa ini tidak ada sebarang tarikh lagi yang dipersetujui.

"Tetapi dari segi tajaan sudah ramai yang menghubungi untuk memberi tajaan dan terlibat dengan majlis kami nanti," jelas Che Ta.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...